Daun jadi duit
Minat mencetak daun pada kain yang bermula semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini berubah menjadi sumber rezeki sampingan bagi ibu kepada tujuh anak.
Wan Nor Azizah Wan Derahman, 55, berkata, teknik cetakan kreatif atau ecoprint itu dipelajarinya melalui media sosial dan YouTube pada sekadar mengisi masa lapang.
Menurutnya, ketika itu dia hanya menggunakan daun yang mudah diperoleh di sekitar rumah seperti daun kari, ulam raja, air mata pengantin, daun senduduk dan daun pakis.
"Prosesnya bermula dengan menyusun daun di atas kain putih yang dimordan, kemudian menutupnya dengan kain direndam air pewarna alam rebus.
"Setelah itu kain tersebut digulung dan dikukus selama lebih kurang dua jam dan hasil dari kukusan menyebabkan warna serta bentuk daun tercetak pada kain secara semula jadi.
"Apa yang menariknya satu design hanya satu di dunia dan mustahil untuk ditiru," katanya ketika ditemui pada Rabu.
Dia yang menetap di Cenderawasih memberitahu, untuk menghasilkan produk, pemilihan daun perlu teliti kerana tidak semua jenis daun memberikan warna.
Ujarnya, akar mengkudu menghasilkan warna coklat kemerahan dan kayu bakau pula kelihatan seperti coklat manakala kayu secang pula merah pekat.
“Proses penghasilan mengambil masa tujuh hari, termasuk rawatan awal kain dan kukusan daun selama dua jam bagi memastikan warna kekal,” katanya.
Selain menggunakan daun di halaman rumah, Wan Nor Azizah turut menghasilkan pelbagai produk kraf eksklusif menggunakan daun dan kayu tempatan seperti lemuni, jati, jarak, Melati Belanda dan kayu bakau.
Katanya, daripada daun itu pelbagai produk yang dihasilkan termasuk pakaian, beg tangan, kotak pensel, cermin tangan dan aksesori hiasa.
"Barangan ini saya jual pada harga bermula RM20 hingga RM120 bergantung saiz dan jenis daun.
“Saya kini sedang menyiapkan kain sepanjang dua meter untuk dijadikan blouse,” katanya.
Mengimbau kembali perjalanan perniagaannya, Wan Nor Azizah berkata, bermodalkan mesin jahit berharga RM2,500, dia mula menjahit anak patung kucing.
“Bermula dari situ, minat dan kreativiti saya berkembang.
"Lama-kelamaan, saya mula menghasilkan kain serta pelbagai produk kraf lain yang unik dan menarik perhatian pembeli tempatan,” ujarnya.
Sebagai usahawan berdaftar dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) sejak lima tahun lalu, Wan Nor Azizah mengakui menerima pelbagai manfaat termasuk kursus latihan, peluang menyertai pameran dan bantuan promosi.
“Banyak faedah menjadi ahli Kraftangan dan mereka membantu dari segi promosi serta ilmu, sangat berbaloi terutama bagi pengusaha kecil seperti saya,” katanya.
Apa Reaksi Anda?











