Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa Ditubuhkan, UMNO Rumah Asal Politik Melayu

Oleh : BARD
Januari 17, 2026 - 09:00 MYT
Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa Ditubuhkan, UMNO Rumah Asal Politik Melayu

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi menerima kemasukan semula mana-mana pihak kepada UMNO.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata ia bertujuan membuka ruang seluas-luasnya kepada penyatuan hubungan dalam kalangan warga parti demi memastikan UMNO kekal relevan dan terus menjadi wadah perjuangan bangsa, agama dan tanah air.

“Pintu Rumah Bangsa ini sentiasa terbuka luas. Di sini kita dilahirkan, di sini kita dibesarkan. Di sini jugalah kita mengadun erti perjuangan.

“Justeru, bagi menyambut kembali kepulangan saudara-saudara kita adik-beradik kita, ahli keluarga kita, sebuah Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa akan ditubuhkan bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula mana-mana pihak baik secara individu atau secara en bloc ke Rumah Bangsa ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika Ucapan Dasar Presiden Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini semalam.

Menurutnya, tanggungjawab UMNO hari ini jauh lebih besar kerana UMNO adalah Rumah Bangsa, tempat untuk menyatukan kembali orang-orang Melayu dan bukan dengan retorik amarah, bukan dengan dendam sejarah, tetapi dengan haluan yang jelas dan jiwa yang besar.

“Gagasan Payung Besar orang Melayu pernah cuba dibina tanpa UMNO. Tetapi sejarah telah membuktikan, ia tidak mendapat sambutan. Payung itu rebah kerana tidak berpaut kepada rumah asalnya. Kenapa perlu kepada payung, andai rumah sudah tersergam indah.

“Sejarah Rumah Bangsa ini tidak akan pernah terpadam. Dari rumah inilah lahirnya pelbagai parti dan gerakan politik Melayu – Pas, Semangat 46, PKR, Bersatu, Pejuang, Warisan, GRS – bahkan GPS telah turut berkongsi satu roh kenegaraan. Ada yang lahir dari konflik dan kekecewaan, ada yang muncul akibat perbezaan hala tuju dan wadah yang tidak selaras,” katanya.

Begitu juga tambahnya, UMNO adalah rumah asal politik Melayu.

“Dari rumah inilah lahirnya kemerdekaan, terbinanya Perlembagaan, Islam dimartabatkan sebagai tiang negara dan Raja-Raja Melayu didaulatkan. Rumah ini bukan sekadar dinding dan bumbung – ia menjadi paksi kepada sebuah negara bangsa, rimbunan yang memayungi segenap latar agama, bangsa dan budaya.

“Namun, rumah ini mesti dijaga. Takkan kita hanya berpeluk tubuh, andai atapnya mula bocor, lantainya mula reput. Rumah ini perlu dibersihkan dari debu keangkuhan, agar kembali menjadi teduhan selesa buat seluruh anak bangsa tanpa mengira pangkat dan darjat. UMNO bukan parti elit, tetapi lahir dari keringat rakyat.

“UMNO adalah rumah buat semua bertaut kembali saat ada yang hilang arah, saat ada yang semakin rebah.. kembalilah.. kembalilah.. Bak kata pepatah, sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan,” ujarnya.

Sementara itu dalam ucapannya, beliau turut menyifatkan pemulihan juga mesti bermula dengan membetulkan naratif parti di mata rakyat yang merupakan proses menyeluruh untuk mengembalikan keyakinan bagi memperbaiki persepsi.

Menurut beliau ia juga medan untuk memulihkan kredibiliti dan menampilkan UMNO sebagai wadah perjuangan Melayu yang relevan, segar dan berwibawa.

Rentetan itu beliau turut memaklumkan penganjuran Musyawarah Nasional bagi membicarakan agenda politik umat Melayu.

Ahmad Zahid berkata ia akan melibatkan semua pertubuhan, pakar-pakar, ahli akademik dan profesional Melayu.

Dalam perkembangan sama beliau turut berpandangan, untuk melakukan penjenamaan semula dalam kerangka kerjasama politik, parti seharusnya menyedari keadaan sudah berubah.

“Ini menuntut kita untuk menilai semula bentuk-bentuk kerjasama politik yang sesuai dengan situasi politik semasa. Ia termasuklah untuk kita mengkaji semula bentuk gabungan politik Barisan Nasional (BN).

“BN telah berusia lebih 50 tahun dan perlu diberikan nafas baharu agar dilihat sesuai dengan tuntutan zaman. Rakan-rakan politik yang setia selama ini perlu dirangkul bagi menambah kekuatan dan sokongan.

“Untuk itu, UMNO mencadangkan satu proses rebranding atau penjenamaan semula yang menyeluruh perlu dibuat bagi menghadapi PRU ke 16,” ujar beliau.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow