Kelab UMNO Luar Negara Duta Kecil Parti, Berkhidmat Kepada Diaspora
Kelab UMNO Luar Negara (KULN) berperanan sebagai ‘duta kecil’ parti dan negara dalam menyampaikan suara mahasiswa dan kebajikan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara kepada kepimpinan di tanah air.
Ahli Kelab UMNO Luar Negara Mesir, Aiman Adely berkata, KULN menjadi penghubung utama dalam membawa isu-isu berkaitan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara, khususnya dalam kalangan pelajar.
“Peranan KULN adalah sebagai duta kecil rakyat Malaysia. Kita membawa agenda keselamatan, penempatan, insurans dan kesihatan kerana kos sara hidup di luar negara hari ini semakin mencabar,” katanya kepada UMNO Online.
Menurut beliau, isu seperti kenaikan sewa rumah di Australia, ketiadaan perlindungan insurans di Mesir dan cabaran kebajikan di negara-negara Eropah perlu disalurkan kepada kerajaan agar perhatian sewajarnya dapat diberikan.
“Kita harap kerajaan dapat membantu rakyat Malaysia di luar negara dan KULN menjadi saluran untuk menyampaikan mesej ini kepada pemimpin-pemimpin di tanah air,” ujarnya.
Mengulas cabaran, Aiman berkata kewujudan KULN sebagai organisasi politik di luar negara berdepan persepsi negatif dan tekanan, namun semangat ahli-ahlinya kekal utuh.
“Ada yang takut untuk terlibat kerana faktor politik, namun hari ini UMNO berada dalam kerajaan. Kita perlu kekal kuat dan terus berada dalam arus kepimpinan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kelab UMNO Luar Negara United Kingdom, Nur Arina Natasya Muhammad Nadzri berpandangan KULN berfungsi sebagai platform penting untuk menghubungkan mahasiswa dengan pentadbiran negara, bukan sahaja dalam soal pendidikan malah kebajikan dan pendedahan politik.
“KULN menghubungkan mahasiswa dengan pentadbiran di Malaysia dan memberi ruang kepada mereka yang pro-UMNO untuk memahami sistem pentadbiran serta politik negara,” katanya.
Menurut beliau, antara cabaran utama ialah budaya mahasiswa di luar negara yang cenderung bersikap neutral dan kurang terbuka terhadap penglibatan politik.
“Ramai melihat penglibatan politik sebagai sesuatu yang janggal. Sebab itu aktiviti yang konsisten amat penting untuk menarik minat mahasiswa baharu, khususnya ketika kemasukan pelajar setiap tahun,” jelasnya.
Beliau turut berharap agar momentum pertambahan cawangan KULN dapat diteruskan dan cawangan sedia ada kekal relevan serta aktif.
Dalam perkembangan sama, wakil Kelab UMNO Sydney, Muhammad Hafiz Md Zabar Noor berkata KULN bukan sahaja berkhidmat kepada pelajar, malah kepada seluruh komuniti Malaysia di luar negara.
“Kami berperanan menyampaikan apa sahaja suara, keperluan dan cadangan penambahbaikan masyarakat Malaysia di luar negara kepada pemimpin-pemimpin negara,” katanya.
Tambah beliau, perbezaan budaya dan skeptisisme terhadap jenama UMNO menjadi cabaran utama untuk menarik penyertaan, namun ia tidak melemahkan semangat perjuangan ahli KULN.
“Kita bermula daripada kosong, mengubah persepsi dan kepercayaan mereka kepada nilai agama, bangsa serta negara. Walau di mana kami berada, Malaysia tetap di hati,” ujarnya.
Beliau turut berharap agar lebih ramai pemimpin negara lahir daripada Kelab UMNO Luar Negara melalui program pembangunan kepimpinan yang mampu membina jati diri, semangat patriotisme dan kesediaan untuk kembali berkhidmat kepada tanah air.
Terdahulu, satu pertemuan antara Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama para pelajar Kelab UMNO Luar Negara dan UMNOSiswa telah diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Perjumpaan tersebut diteruskan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut melancarkan logo baharu KULN.
Apa Reaksi Anda?











