Kerajaan Negeri Pahang Akan Terus Sokong Usaha JAIP, Pastikan Warga SMAN Sentiasa Bermotivasi
Kerajaan Negeri Pahang akan terus menyokong usaha Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk memastikan warga Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) sentiasa bermotivasi.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan seramai 586 orang pelajar, 53 orang guru dan 18 buah SMAN telah diraikan pada Selasa.
“Pada petang Selasa saya berasa amat berbangga dapat bersama para pengetua, guru-guru dan anak-anak pelajar SMAN Pahang dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang Kali Ke-24 Tahun 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
“Seramai 586 orang pelajar, 53 orang guru dan 18 buah Sekolah Menengah Agama Negeri diraikan hari ini.
“Bagi saya, majlis ini bukan sekadar penyampaian anugerah, tetapi satu pengiktirafan kepada usaha, pengorbanan dan kesungguhan semua yang terlibat dalam memperkukuh pendidikan agama di Negeri Pahang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berharap agar kejayaan yang diraikan tersebut menjadi pemangkin untuk terus melahirkan generasi berilmu dan menyumbang kepada kesejahteraan agama, bangsa serta Negeri Pahang.
“Kerajaan Negeri Pahang akan terus menyokong usaha Jabatan Agama Islam Pahang melalui pelbagai inisiatif dan bantuan, supaya warga SMAN sentiasa bermotivasi, relevan dengan perkembangan semasa dan bergerak seiring Aspirasi Pahang 1st.
“Semoga kejayaan yang diraikan hari ini menjadi pemangkin untuk kita terus melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing, seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan agama, bangsa dan negeri Pahang,” katanya lagi.
Apa Reaksi Anda?











