Kerajaan Pahang Perkasa Kebajikan Orang Asli dan Mualaf Melalui Inisiatif Makmur Pahang
Kerajaan Negeri Pahang terus memperkukuh agenda kebajikan masyarakat Orang Asli dan saudara baharu menerusi pelaksanaan Inisiatif Makmur Pahang Kluster Mualaf, sekali gus membuktikan komitmen memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan negeri.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, berkata inisiatif itu dilancarkan ketika Majlis Santuni Saudaraku sempena Sambutan Maal Hijrah 1448H di Perkampungan Orang Asli Hulu Pareh, Bentong.
Pada majlis berkenaan, seramai 300 mualaf menerima bantuan RM200 seorang, manakala 60 Penggerak Masyarakat Orang Asli Negeri Pahang turut menerima sumbangan sebagai penghargaan terhadap peranan mereka memperkasa komuniti setempat.
Menurut beliau, bantuan yang disalurkan bukan sekadar sokongan kewangan, malah menjadi bukti kerajaan negeri sentiasa bersama saudara baharu dalam usaha memperkukuhkan penghayatan Islam.
Wan Rosdy turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus mempergiat usaha meningkatkan taraf hidup, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli agar mereka terus menikmati manfaat pembangunan secara inklusif.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, serta JAIP, ORACO, JAKOA dan semua agensi yang menjayakan program berkenaan.
Katanya, Kerajaan Negeri komited memastikan manfaat pembangunan dan kemajuan Pahang dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat menerusi pelbagai inisiatif di bawah Makmur Pahang.
Apa Reaksi Anda?











