Ketepikan Emosi Nilai Fakta Isu Pencerobohan Tanah Di Pahang

Oleh : BARD
April 27, 2025 - 15:00 MYT
Ketepikan Emosi Nilai Fakta Isu Pencerobohan Tanah Di Pahang

Sidang Dewan Undangan Negeri baru sahaja melabuhkan tirainya yang merupakan satu rutin yang lazim dalam sebuah negara demokrasi, di mana dewan bersidang sebagai lambang wacana rakyat. Namun kali ini, suhu persidangan terasa lebih hangat daripada biasa. Isu Musang King yang sebelum ini hanya berlegar di tanah-tanah tinggi dan pekebun-pekebun kecil, kini bergema dalam dewan dan meletup di media sosial. Malah menarik perhatian rakyat jelata dari kampung hingga ke kota.

Usai sidang media semalam, Menteri Besar Pahang menegaskan pendiriannya, tiada kompromi dalam menangani isu Musang King. Namun di ruang komen media sosial, suara-suara netizen masih berkisar dalam kealpaan dan kekeliruan. Fakta disalah tafsir, dan naif terus berakar. Antara yang tular: “Sudah 40 tahun, baru sekarang nak ambil tindakan?” dan “Kenapa tidak tangkap saja pekebun-pekebun haram ini?”. Soalan-soalan yang kelihatan tegas di permukaan, tetapi sering lahir dari kurangnya maklumat, atau terlalu banyak sangkaan.

Komen-komen sebegini menyerlahkan betapa ramai dalam kalangan rakyat masih belum memahami realiti sebenar yang sedang berlaku. Ketidakfahaman ini, malangnya, sering diterjemah dalam bentuk sentimen kepartian dan perkauman yang sempit dan racun halus yang perlahan-lahan menghakis keharmonian masyarakat majmuk kita. Lebih membimbangkan, ia dijadikan modal untuk menyerang kerajaan negeri, dengan naratif usang bahawa “kerajaan tidak bertindak”. Sedangkan banyak yang berlaku di belakang tabir, jauh dari sorotan lensa dan lontaran komen sepintas lalu.

Hakikatnya, pelbagai tindakan telah pun diambil oleh kerajaan negeri dalam menangani isu pencerobohan ini. Sebagai bukti, berikut antara langkah tegas yang telah diambil terhadap pekebun-pekebun haram Musang King, SPRM panggil 18 pekebun isu ceroboh tanah kerajaan negeri (2020) https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/09/731822/sprm-panggil-18-pekebun-isu-ceroboh-tanah-kerajaan-negeri  dan 45 pekebun durian di Raub ditahan ceroboh tanah kerajaan (2024) https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/06/1097866/45-pekebun-durian-di-raub-ditahan-ceroboh-tanah-kerajaan#google_vignette . Jelas daripada tindakan-tindakan ini, kerajaan negeri Pahang sememangnya konsisten dan komited dalam membanteras pencerobohan tanah secara haram bukan hanya kini, tetapi sejak dahulu lagi.

Bukan sekadar amaran, malah tindakan memotong pokok durian yang ditanam secara haram merupakan langkah tegas kerajaan yang wajar dan berprinsip. Tanah yang diceroboh itu adalah milik kerajaan, dan sebagai tuan tanah yang sah, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mendapatkan kembali haknya. Demi memastikan penguatkuasaan berjalan dengan lebih teratur dan berkesan, Kerajaan Negeri Pahang telah menubuhkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 15 Oktober 2019.

Unit khas ini ditugaskan untuk membanteras pencerobohan tanah, perlombongan haram, serta sebarang pelanggaran undang-undang yang melibatkan tanah kerajaan dan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di seluruh negeri. Sebelum ini, kerajaan telah mengambil pendekatan memberi kompaun kepada para pekebun haram. Namun apabila langkah berhemah ini tidak diendahkan, UPNP tampil dengan tindakan yang lebih tegas, selari dengan mandat dan kepentingan negeri. Sudah diberi betis, hendak paha. Bukan sahaja mereka enggan berundur, malah ada yang menuntut pengiktirafan ke atas tanah yang telah mereka ceroboh sekian lama, seolah-olah kesabaran kerajaan itu satu kelemahan yang boleh dieksploitasi.

Dalam sebuah negara yang berteraskan undang-undang, tindakan tidak boleh bersandar pada sentimen semata-mata. Hak milik tetap hak milik, dan apabila tanah kerajaan diceroboh selama puluhan tahun tanpa izin, ia bukan lagi soal kasihan atau nostalgia, tetapi soal kedaulatan undang-undang dan keadilan kepada seluruh rakyat. Tindakan tegas kerajaan negeri, melalui UPNP, bukan hanya tentang memotong pokok atau mengusir penceroboh, tetapi meletakkan semula garis sempadan antara hak dan salah. Kita sebagai rakyat pula, harus celik maklumat dan berani menilai dengan waras, bukan sekadar menyalakan sentimen, tetapi menyuburkan kefahaman. Kerana tanah ini milik bersama, dan masa depan negeri tidak boleh dikompromi atas nama ketakutan politik atau populariti media sosial.

Nukilan
Nadia Rose

Mewangi Tapi Berduri

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow