Lebih 10,000 anak Pahang meriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri
Lebih 10,000 anak Pahang di perantauan terutamanya dari sekitar Lembah Klang menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang 2025 yang diadakan di Dewan Perdana Felda di sini pada Isnin.
Menteri Besar, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau gembira kerana program berkenaan mendapat sambutan luar biasa sehingga melebihi jangkaan awal sekitar 6,000 tetamu sahaja.
Berikutan itu, Wan Rosdy memohon maaf sekiranya terdapat tetamu dan anak Pahang yang tidak sempat menjamu selera, biarpun beliau telah mengarahkan supaya jumlah makanan ditambah untuk kira-kira 1,000 orang lagi berbanding perancangan asal.
"Insya-ALLAH pada tahun depan kita akan cari tempat lain yang lebih sesuai dan lebih besar bagi menampung jumlah tetamu majlis ini yang semakin bertambah setiap tahun.
"Pada tahun lalu, kita adakan majlis yang sama di Titiwangsa dan menjangkakan kehadiran sekitar 2,000 orang sahaja, namun bilangan sebenar tetamu yang hadir melebihi 3,500 orang.
"Jadi, tahun ini kita pilih dewan yang lebih besar, namun kehadiran anak Pahang di perantauan amat luar biasa kerana ini adalah peluang untuk kita berkumpul beramai-ramai," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan hadiah cabutan bertuah dan duit raya kepada anak Pahang di sini pada Isnin.
Terdahulu, Wan Rosdy menafikan dakwaan pembangkang bahawa Pahang bukan sebuah negeri yang Islamik.
Jelasnya, sejak beliau menjadi Menteri Besar tiga tahun lalu, lebih 30 masjid telah dibina di seluruh negeri berkenaan.
Beliau juga meminta anak Pahang di perantauan supaya tidak terpedaya dengan dakyah pembangkang kononnya kerajaan negeri menjual beribu-ribu ekar tanah rizab Melayu kepada bukan Islam.
Menurut Wan Rosdy, sepanjang tempoh beliau menjadi Menteri Besar, tiada seinci pun tanah milik orang Melayu dan bumiputera dijual oleh kerajaan negeri kepada syarikat bukan Melayu.
"Dakwaan itu adalah fitnah semata-mata kerana keluasan tanah rizab Melayu di Pahang kini meningkat kepada lebih 161,880 hektar berbanding hanya kira-kira 80,940 hektar pada tahun 1980-an.
"Jadi saya berharap anak Pahang tidak mudah percaya dengan tohmahan dan fitnah yang mengatakan tanah rizab Melayu di Pahang semakin berkurangan," katanya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga memberikan sumbangan sebanyak RM750 kepada mana-mana anak Pahang yang menerima surat tawaran untuk menunaikan ibadah haji.
Apa Reaksi Anda?











