MAHA Pahang 2026: Memperkukuh Sektor Pertanian, Memacu Ekonomi Negeri
Sektor pertanian bukan lagi sekadar aktiviti mengeluarkan hasil tanaman atau ternakan. Hari ini, pertanian menjadi antara tunjang penting kepada pertumbuhan ekonomi, keterjaminan bekalan makanan dan kesejahteraan rakyat.
Di Pahang, sektor ini terus berkembang sebagai salah satu kekuatan utama negeri. Dengan keluasan tanah yang subur, kepelbagaian hasil pertanian dan sokongan dasar kerajaan, Pahang memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada bekalan makanan negara.
Sayur-sayuran dari Cameron Highlands, durian Musang King dari Raub, nanas dari Rompin, padi di Pekan, selain industri ternakan, perikanan, akuakultur, kelapa sawit dan getah, semuanya menyumbang kepada rantaian bekalan makanan Malaysia serta menjadi sumber pendapatan kepada ribuan rakyat di seluruh negeri.
Peranan besar sektor ini turut disokong oleh data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Berdasarkan Banci Pertanian 2024, sektor pertanian Pahang menjana RM27.12 bilion kepada ekonomi negeri, melibatkan hampir 90,000 pegangan pertanian yang merangkumi subsektor tanaman, ternakan dan perikanan. Ini membuktikan bahawa pertanian bukan lagi sektor tradisional semata-mata, sebaliknya sebuah industri yang menjadi pemacu kepada ekonomi negeri dan kehidupan masyarakat luar bandar.
Kejayaan ini juga dapat dilihat melalui sambutan terhadap Mini MAHA Pahang 2025. Program yang berlangsung selama empat hari itu berjaya menarik lebih 206,000 pengunjung dengan nilai jualan mencecah RM2.23 juta, jauh mengatasi sasaran awal sebanyak RM1.2 juta. Pencapaian ini membuktikan bahawa hasil pertanian tempatan mempunyai permintaan yang tinggi, selain menjadi platform penting untuk memperluaskan pasaran usahawan agro negeri.
Berbekalkan kejayaan tersebut, MAHA Pahang 2026 kembali dengan skala yang lebih besar.
Bertemakan "Agro Lestari Bina Negeri", MAHA Pahang 2026 akan berlangsung di Dataran Raub, Dewan Jubli Perak dan Taman Tasik Raub bermula 23 hingga 26 Julai 2026.
Penganjuran kali ini menghimpunkan 100 usahawan dari pelbagai subsektor pertanian dan industri asas tani dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM1.3 juta. Selain mempromosikan hasil pertanian tempatan, program ini dijangka memberi limpahan ekonomi kepada usahawan tani, pengusaha industri asas tani, sektor pelancongan serta komuniti setempat.
MAHA Pahang bukan sekadar sebuah ekspo pertanian. Ia merupakan platform yang menghimpunkan petani, penternak, nelayan, usahawan, agensi kerajaan, pelabur dan pengguna dalam satu ekosistem yang saling melengkapi. Di sinilah lahirnya peluang kerjasama baharu, perkongsian teknologi, pemindahan ilmu dan pembukaan pasaran yang lebih luas kepada produk-produk keluaran Pahang.
Kerajaan Negeri berharap MAHA Pahang 2026 akan terus menjadi platform terbaik untuk mempromosikan hasil pertanian negeri, memperkenalkan inovasi dalam sektor agro serta memperkasakan daya saing usahawan tempatan agar mampu menembusi pasaran yang lebih besar, termasuk ke peringkat antarabangsa.
Pembangunan sektor pertanian tidak boleh digalas oleh kerajaan semata-mata. Ia memerlukan sokongan semua pihak termasuk pengguna. Memilih produk tempatan bukan sekadar membantu usahawan, malah menyokong ekonomi negeri, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan mengukuhkan agenda keterjaminan makanan negara.
Marilah kita bersama-sama menyokong hasil keluaran tempatan, menghargai usaha para petani, penternak, nelayan dan usahawan agro yang menjadi tulang belakang sektor makanan negara.
Jumpa di Raub pada 23 hingga 26 Julai 2026.
Pahang1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan.
Apa Reaksi Anda?











