PDRM Perkukuh Risikan, Cegah Ancaman Rusuhan Seperti Di Luar Negara
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan kerajaan sentiasa mengambil pendekatan proaktif supaya rusuhan awam seperti di Indonesia dan Nepal tidak berlaku di Malaysia.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata ia merangkumi rusuhan yang berpunca daripada tekanan kos sara hidup, ketidakpuasan terhadap dasar kerajaan, isu sosial dan politik.
“Antara strategi yang dilaksanakan bagi memastikan keamanan negara kekal terpelihara adalah dengan memperkukuh pengumpulan maklumat dan pemantauan risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti potensi ancaman terhadap keamanan dan kestabilan negara
“Kerajaan juga meningkatkan pendekatan kolaboratif dengan agensi kerajaan, Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) agar isu berkaitan kos sara hidup, ketidakpuasan terhadap dasar kerajaan, isu sosial dan politik dapat ditangani secara menyeluruh dan tidak dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Shamsul berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berkenaan langkah kesediaan dan strategi kerajaan memastikan keamanan negara khususnya bagi mengelakkan tercetusnya rusuhan awam seperti di Indonesia dan Nepal.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan kementerian juga mengadakan perbincangan di antara pihak PDRM dan pihak penganjur bagi memastikan penganjuran perhimpunan tidak mencetuskan ancaman serta menggugat keselamatan dan ketenteraman awam negara.
“Meningkatkan tahap kesiapsiagaan melalui latihan kawalan rusuhan yang menekankan disiplin, penggunaan kekerasan yang minimum, kepatuhan kepada SOP kawalan rusuhan, penugasan pasukan khas serta penggunaan teknologi moden seperti kamera badan, dron pemantau dan sistem CCTV bagi meningkatkan kecekapan pemantauan dan respon,” ujar beliau.
Apa Reaksi Anda?











