Pelajar TVET MARA Kini Berpeluang Meneroka Laluan Ke Australia

Oleh : BARD
Februari 17, 2026 - 11:00 MYT
Pelajar TVET MARA Kini Berpeluang Meneroka Laluan Ke Australia

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meneruskan lawatan kerjanya ke Australia dengan mengadakan pertemuan bersama Menteri Kemahiran dan Latihan, Andrew Giles dan Timbalan Menteri Pendidikan Antarabangsa, Julian Hill.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata pertemuan tersebut menfokuskan pengukuhan kerjasama strategik antara MARA dan Kerajaan Australia.

“Perbincangan ini membuka lembaran baharu dalam memperkukuh hubungan dua hala yang berteraskan pendidikan tinggi, TVET dan mobiliti pelajar serta pembangunan bakat masa hadapan.

“Hasil pertemuan ini, pelajar-pelajar TVET MARA kini berpeluang untuk meneroka laluan ke Australia menerusi model program berkembar seperti 2+2 atau 3+1, iaitu memulakan pengajian di institusi tempatan sebelum menyambung ke universiti atau TAFE (Technical and Further Education) di Australia.

“Pendekatan ini bukan sahaja lebih kos efektif, malah memberi ruang kepada lebih ramai pelajar tajaan MARA menimba pengalaman antarabangsa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut kata beliau dalam konteks TVET, MARA turut mencadangkan pembinaan laluan artikulasi yang lebih jelas antara sijil dan diploma TVET Malaysia dengan kelayakan TAFE Australia, termasuk peluang visa jangka pendek (3 hingga 12 bulan) bagi latihan industri dan pendedahan kemahiran di Australia.

Menurut beliau usaha ini amat penting bagi memastikan graduan TVET bukan sahaja mahir secara teknikal, malah mempunyai nilai tambah global serta kefahaman terhadap ekosistem industri negara maju.

“Insya-Allah dengan kerjasama ini akan meneruskan lembaran kerjasama baharu MARA-Australia untuk mengangkat martabat TVET, membuka peluang lebih luas kepada anak-anak MARA dan memastikan mereka mampu bersaing di peringkat antaabangsa,” ujar beliau.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow