Peluang Pendidikan, Institusi Negara Jadi Jasa UMNO Yang Terus Dikenang Mahasiswa Luar Negara

Oleh : BARD
September 14, 2026 - 11:00 MYT
Peluang Pendidikan, Institusi Negara Jadi Jasa UMNO Yang Terus Dikenang Mahasiswa Luar Negara

Peluang mendapatkan pendidikan berkualiti serta pembangunan pelbagai institusi negara terus menjadi antara jasa yang dikenang mahasiswa Malaysia di luar negara, khususnya mereka yang menikmati kemudahan tajaan pendidikan dan sokongan agensi kerajaan.

Bagi mahasiswa dan anggota Kelab UMNO Luar Negara London, Nur Aisyatul Auni, 21, peluang melanjutkan pengajian ke luar negara menerusi tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) merupakan antara sumbangan yang paling dekat dengan dirinya.

Sebagai pelajar tajaan Young Talent Development Programme (YTP) MARA, beliau kini berpeluang melanjutkan pengajian di King’s College London, sekali gus menikmati akses kepada pendidikan berkualiti tanpa perlu menanggung sepenuhnya beban kos pengajian.

“Jasa yang paling saya kenang ialah peluang pendidikan yang diberikan kepada kami. Saya sendiri merupakan pelajar tajaan YTP MARA dan diberikan peluang untuk melanjutkan pengajian di King’s College London menerusi tajaan MARA.

“Ia bukan sahaja membantu dari segi kewangan, tetapi juga memberikan peluang kepada saya untuk mendapatkan pendidikan yang lebih berkualiti,” katanya.

Pandangan sama turut dikongsi mahasiswa University of Warwick, Abdul Muiz Abdul Wahid, 22, yang melihat peranan MARA sebagai antara sumbangan besar dalam membuka ruang pendidikan dan keusahawanan kepada masyarakat Bumiputera.

Menurutnya, selain MARA, pelbagai institusi dan agensi yang diwujudkan hasil dasar kerajaan terdahulu turut memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

“Jasa yang sangat saya kenang ialah MARA kerana saya merupakan pelajar tajaan MARA. MARA telah memberikan banyak peluang kepada masyarakat Bumiputera di Malaysia untuk mendapatkan pendidikan yang baik, menceburi bidang keusahawanan serta membantu golongan yang memerlukan.

Abdul Muiz berkata, institusi seperti FELDA, RISDA dan Petronas juga mempunyai peranan tersendiri dalam pembangunan negara, selain pelbagai kemajuan yang dinikmati rakyat hari ini hasil daripada dasar dan usaha kerajaan terdahulu.

“Banyak pembangunan yang kita lihat di Malaysia hari ini lahir daripada dasar dan usaha kerajaan terdahulu. Antaranya ialah penubuhan Petronas serta pembangunan mercu tanda seperti Menara Berkembar Petronas.

“Saya rasa perkara ini perlu dihargai dan disedari oleh rakyat Malaysia bahawa banyak institusi dan agensi yang diwujudkan sebelum ini telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara,” katanya.

Sementara itu, mahasiswa Universiti Islam Negeri Ar-Raniry, Banda Aceh, Tuan Muhammad Akma Asyraaf Tuan Mohd Nasir, 25, berkata peluang melanjutkan pengajian di luar negara menerusi sokongan agensi kerajaan merupakan antara perkara yang amat dihargainya.

Menurut beliau, bantuan daripada MARA dan Petronas bukan sekadar merangkumi pembiayaan pendidikan, malah turut membantu mahasiswa dari aspek penginapan dan kos sara hidup sepanjang berada di luar negara.

“Bagi saya, jasa yang paling saya kenang ialah MARA dan Petronas kerana menerusi tajaan dan sokongan yang diberikan, kami mendapat bantuan dari segi penginapan, kos sara hidup serta pembiayaan pendidikan.

“Kemudahan tersebut sangat membantu kehidupan kami sebagai mahasiswa di luar negara dan menjadi antara perkara yang paling kami hargai,” katanya.

Bagi mahasiswa Malaysia yang berada di perantauan, peluang pendidikan seperti ini bukan sekadar soal pembiayaan pengajian. Ia menjadi jambatan untuk anak muda meneroka ilmu, membina pengalaman antarabangsa dan membawa pulang kepakaran untuk dimanfaatkan kepada negara.

Pengalaman mereka turut memperlihatkan bagaimana institusi yang dibangunkan sejak sekian lama terus memberi kesan kepada generasi hari ini termasuk anak muda yang kini menuntut ilmu jauh dari tanah air.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow