Penambahan Ahli Baharu Jadi Bukti UMNO Terus Diyakini, Relevan
Penambahan ahli baharu amat penting kerana ia membuktikan bahawa UMNO terus diyakini dan relevan, kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Ramlee Bohani.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas telah hadir untuk meraikan kemasukan ahli-ahli baharu UMNO Bahagian Ayer Hitam pada Selasa.
“Alhamdulillah, pada malam Selasa saya berkesempatan bersama barisan ahli UMNO Bahagian Ayer Hitam dalam satu majlis penuh makna untuk meraikan kemasukan ahli-ahli UMNO yang baharu.
“Suasana meriah dan jelas memperlihatkan semangat kebersamaan serta kecintaan terhadap perjuangan parti.
“Penambahan ahli baharu ini amat penting kerana ia menjadi bukti UMNO terus diyakini dan relevan. Setiap ahli, sama ada yang lama mahupun baharu mempunyai peranan dan sumbangan tersendiri dalam memastikan parti keramat ini terus bergerak aktif, mendekati rakyat serta membela nasib mereka,” katanya.
Ujarnya, kekuatan UMNO terletak pada kesinambungan perjuangan, pengalaman dan semangat segar yang akan dibawa oleh generasi seterusnya.
“Apabila sayap-sayap parti bergerak dengan aktif dan tersusun, sudah tentu hasilnya dapat dilihat melalui peningkatan pendaftaran ahli di peringkat bahagian. Tiada yang lama, sudah tentu tiada yang baharu.
“Kekuatan UMNO sebenarnya terletak pada kesinambungan perjuangan, pengalaman yang diwarisi dan semangat segar yang dibawa oleh generasi seterusnya.
“Terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada kepimpinan UMNO Bahagian Ayer Hitam khususnya sahabat saya, Datuk Samsolbari bin Jamali, Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Mohd Kamal Harun, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Mohd Junaidi Kamari, Naib Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Sarimah Mohd Rafie, Ketua Wanita UMNO Bahagian Ayer Hitam, Muhammad Luqman Sufyan Mohd Junaidi, Ketua Pemuda UMNO Ayer Hitam dan Nursyareeza Abdullah, Ketua Puteri UMNO Ayer Hitam,” katanya lagi.
Apa Reaksi Anda?











