PAS Kata UMNO Tak Boleh Bersama DAP, Tapi Mereka Boleh Bersama Pejuang Hindraf & LTTE
PAS memang pelik. Bila sebut nama DAP, mereka sanggup berjaga malam cari dalil, gali kitab, petik ayat sana sini untuk buktikan “haram” bekerjasama. DAP digambarkan seolah-olah musuh nombor satu Islam, ancaman terbesar Melayu, dan kononnya punca segala dosa dalam politik negara.
Tetapi bila berdepan dengan kelompok lain, PAS tiba-tiba jadi “selective amnesia”. Segala prinsip yang mereka laungkan entah ke mana. Malah, individu yang pernah dikaitkan dengan Hindraf dan LTTE pun boleh dianggap “kawan seperjuangan”. Apa logiknya? Kalau benar PAS mahu mempertahankan Islam dan Melayu, bukankah Hindraf dan LTTE jauh lebih ekstrem daripada DAP yang sah menjadi parti demokratik dan duduk dalam sistem pilihan raya?
Inilah wajah sebenar PAS, mereka tidak berpolitik atas dasar prinsip, tetapi atas selera kuasa. Bila ada peluang pegang jawatan, apa sahaja boleh jadi “halal”. Bila tiada faedah untuk mereka, terus dihukum “haram”. Hukum hakam ala PAS ini bukan berpandukan syariat, tapi berpandukan nafsu syahwat politik mereka. Hukum politik PAS lebih cepat berubah daripada hukum fiqh iaitu hari ini makruh, esok halal, lusa wajib ikut selera dan kepentingan mereka.
Contoh terbaru, PAS sanggup duduk semeja bersama Pengerusi Hindraf, P. Waytha Moorthy dan Pengerusi Urimai, Datuk Seri Dr. Ramasamy Palanisamy dalam mesyuarat tergempar pembangkang di MET Corporate Tower, Dutamas. Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden PAS), Mukhriz Mahathir (Presiden Pejuang), Dominic Lau (Gerakan), Azmin Ali, Ibrahim Ali (Putra) dan Amira Aisya (MUDA).
Ironinya, di Pahang, YDP PAS Kuala Krau cuba berdalih dengan menyalahkan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy, kononnya beliau salah faham kenyataan Adun Beserah, Andansura Rabu. Hakikatnya, memang Andansura terang-terangan menyebut kuasa politik di Pahang mesti dikembalikan kepada orang Melayu-Islam kerana UMNO bergabung dengan DAP membentuk kerajaan negeri selepas PRU lalu.
Andansura menuduh UMNO mengkhianati rakyat hanya kerana bekerjasama dengan DAP, kononnya pengaruh DAP akan menjejaskan masa depan Melayu-Islam. Soalnya, bukankah PAS sendiri sedang bersekongkol dengan pihak yang jauh lebih ekstrem daripada DAP?
PAS suka bercakap tentang prinsip, tetapi sejarah membuktikan merekalah paling banyak berpusing. Zaman Pakatan Rakyat dulu, PAS boleh bersama DAP, semuanya halal belaka. Bila berpecah, tiba-tiba jadi haram. Kini, mereka sanggup pula berpeluk mesra dengan Hindraf dan LTTE.
Inilah “double standard” PAS. Ada dua kitab hukum Kitab untuk DAP semua salah, semua haram. Kitab untuk rakan politik mereka semua betul, semua halal.
Bezanya, UMNO di Pahang membuat keputusan bergabung dengan DAP demi kestabilan negeri dan kepentingan rakyat. PAS pula memilih jalan hipokrasi, berpusing-pusing demi kerakusan kuasa.
Mulut mereka melaungkan Islam, tangan mereka mengangkat serban, pakaian mereka berjubah, tetapi wajah sebenar mereka penuh dengan hipokrasi. Mereka tidak segan menelan kembali ludah yang mereka campak.
Asalkan kuasa jadi habuan, PAS akan pusing ikut mana pun. Itulah politik “matlamat menghalalkan cara” versi PAS.
Dan persoalan paling besar untuk rakyat, kalau benar DAP ancaman terbesar Melayu-Islam, bagaimana pula PAS mahu kita percaya Hindraf dan LTTE lebih suci daripada DAP?
Apa Reaksi Anda?











