Penceroboh Tanah Haram Perlu Akur Bukan Timbulkan Provokasi Melampau
Di balik harum semerbak Musang King yang sering dibanggakan sebagai “raja segala buah”, terselit satu kisah lama yang masih berulang, tentang hak, tentang tanah, dan tentang keengganan menerima kenyataan. Isu pencerobohan tanah kerajaan oleh pekebun durian di Raub bukan lagi cerita baharu. Ia seperti musim yang datang kembali, yang berubah hanyalah cara ia disampaikan kepada rakyat.
Namun, apabila isu yang berpaksikan undang-undang mula diseret ke pentas politik, sewajarnya kita berhenti sebentar, menyusun semula pandangan dan membaca dengan mata yang lebih jernih.
Kerajaan Negeri Pahang bukan sahaja telah mengambil tindakan berlandaskan undang-undang, tetapi telah dua kali memperoleh kemenangan di mahkamah iaitu pertama pada Disember 2020 dan kali kedua pada April 2024. Kedua-dua keputusan ini mengesahkan satu perkara yang konsisten iaitu tanah tersebut adalah milik kerajaan, dan pekebun tidak mempunyai sebarang hak undang-undang ke atasnya.
YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin juga telah menjelaskan bahawa dakwaan pihak Save Musang King Alliance (SAMKA) yang menuduh kerajaan negeri melanggar perintah mahkamah adalah tidak berasas. Namun, seperti biasa, kebenaran yang telah diputuskan oleh mahkamah masih dicabar oleh mereka yang lebih selesa bermain dengan persepsi. Sila baca lebih lanjut di https://pahangmedia.my/archives/45785?fbclid=IwY2xjawJjEyJleHRuA2FlbQIxMQABHsBuY4wt2f1XMTsJQSaN-NENHQw_ldFmKrSjAceu1laUnF0FAIbEZuA2hMzW_aem_r3eQa582o7EFrC8F79a1bA&sfnsn=wa
Sebagai tuan tanah, Kerajaan Negeri Pahang hanya menjalankan tanggungjawabnya. Tindakan yang diambil bukan bersifat zalim, bukan juga angkuh, tetapi sebuah langkah untuk menuntut semula apa yang telah sekian lama dicerobohi. Malangnya, ada yang memilih untuk menjadikannya isu politik walaupun sedar akan kelemahan hujah mereka di sisi undang-undang.
Ahli Parlimen DAP, Chow Yu Hui, sebagai contoh, tidak sepatutnya mempolitikkan isu ini. Beliau sendiri maklum bahawa jalan undang-undang bukan berpihak kepadanya. Namun, dalam dunia politik yang sentiasa lapar dengan modal dan persepsi, kisah pekebun Musang King ini dijadikan bahan kempen, seolah-olah kerajaan negeri bertindak tanpa perikemanusiaan. Sedangkan yang dipertahankan adalah tanah rakyat, hak negeri, dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Ada juga yang cuba meniupkan semangat sinis dengan menyebut “UMDAP” satu ungkapan sinikal terhadap kerjasama dalam kerajaan perpaduan antara UMNO dan DAP. Namun, keputusan Kerajaan Negeri Pahang membuktikan sebaliknya. Bahawa meskipun berada dalam kerajaan yang sama, prinsip tetap prinsip. Undang-undang tidak tunduk kepada sentimen. Yang salah tetap salah, walaupun datang dari 'sekutu politik'.
Mungkin akan timbul soalan, “Bukankah mereka telah lama bercucuk tanam di sana? Tidak wajar kah diberi peluang?” Namun, lama tinggal bukan lesen untuk memiliki. Pencerobohan tetap pencerobohan, biarpun dibalut dengan sejarah dan air mata. Undang-undang tidak memilih belas kasihan apabila hak yang sah telah dilanggar.
Akhirnya, biarlah yang menilai bukan emosi politik, tetapi akal yang waras. Mahkamah telah berbicara dua kali. Maka seharusnya kita yang menonton dari luar ini, tidak menokok tambah sandiwara. Ada beza antara perjuangan dan penghasutan. Dan dalam kes ini, yang benar sudah nyata, hak tetap hak, dan undang-undang tetap undang-undang.
Nukilan
Nadia Rose
Mewangi Tapi Berduri
Apa Reaksi Anda?











