Pendidikan Adalah Pelaburan Masa Depan Anak Pahang
Pendidikan bukan sekadar soal berapa banyak yang dibelanjakan. Yang lebih penting ialah sejauh mana pelaburan tersebut mampu membuka ruang dan peluang untuk anak-anak kita membina masa depan yang lebih baik.
Di Pahang, pendidikan dilihat sebagai satu pelaburan jangka panjang yang perlu dirancang dengan mengambil kira keperluan generasi akan datang. Di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, perhatian diberikan kepada pelbagai laluan pendidikan daripada sekolah dan institusi pengajian tinggi, pendidikan agama hinggalah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Pendekatan ini amat penting kerana setiap anak Pahang, tanpa mengira latar belakang keluarga, wajar diberikan peluang untuk mengembangkan potensi mereka.
Lebih penting, kita perlu melihat pendidikan selari dengan perkembangan ekonomi negeri.
Apabila East Coast Rail Link (ECRL) bakal membawa perubahan besar kepada jaringan pengangkutan dan aktiviti ekonomi di Pantai Timur, Pahang perlu memastikan anak tempatan tidak hanya menjadi pemerhati kepada perubahan tersebut. Mereka mesti menjadi sebahagian daripada tenaga kerja dan bakat yang menggerakkan pembangunan itu.
Sebab itu usaha menyediakan laluan kemahiran berkaitan industri rel melalui Akademi Rel Pahang di UCYP University merupakan langkah yang wajar diberi perhatian. Ia mencerminkan keperluan untuk menyediakan bakat tempatan lebih awal supaya apabila peluang pekerjaan dan ekonomi berkembang, anak-anak Pahang sudah mempunyai ilmu dan kemahiran yang diperlukan.
Orang tua-tua selalu berpesan, sediakan payung sebelum hujan.
Begitulah juga dalam soal pendidikan dan pembangunan modal insan. Kita tidak boleh menunggu peluang datang barulah mahu bersedia. Persediaan perlu bermula sekarang.
Akhirnya, pembangunan tidak seharusnya hanya diukur melalui panjangnya landasan kereta api, besarnya projek atau nilai pelaburan yang masuk ke negeri.
Ukuran yang lebih bermakna ialah berapa ramai anak tempatan yang berjaya mendapat pendidikan, kemahiran dan pekerjaan hasil daripada pembangunan tersebut.
ECRL mungkin membawa laluan baharu kepada Pahang. Tetapi pendidikan dan kemahiranlah yang akan memastikan anak Pahang mampu bergerak lebih jauh melalui laluan itu.
Kita bukan sekadar mahu meninggalkan pembangunan untuk generasi akan datang. Kita mahu menyediakan generasi akan datang untuk memimpin pembangunan tersebut.
Puan Hajah Norsarfinaz Mohd Azman
Ketua Wanita UMNO Jerantut
Jurucakap Wanita UMNO Negeri Pahang
Apa Reaksi Anda?











