Raya mengejut? Bersedia sebarang kemungkinan

Oleh : BARD
Mac 10, 2026 - 09:00 MYT
Raya mengejut? Bersedia sebarang kemungkinan

Setiap kali menghampiri penghujung Ramadan, persoalan bila tarikh sebenar Hari Raya Aidilfitri pasti menjadi perbualan hangat masyarakat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Mana tidaknya, pada tahun 2022 umat Islam dikejutkan dengan pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja apabila Aidilfitri jatuh sehari awal berbanding kalendar.

Polemik itu muncul kembali pada tahun ini. Pelbagai spekulasi timbul dan salah satunya apabila kalendar bercetak atau ‘kalendar kuda’ menyatakan Aidilfitri jatuh pada Sabtu, 21 Mac manakala kalendar digital dalam telefon pintar pula menetapkan sehari lebih awal iaitu Jumaat, 20 Mac.

Maka timbullah perdebatan hangat terutamanya di media sosial dan muncullah ‘pakar-pakar tidak bertauliah’, masing-masing mengeluarkan hujah menyatakan ramalan dan pendapat yang diyakini paling sahih.

Ada yang merujuk kiraan falak, tidak lupa ada yang berkongsi tangkap layar aplikasi kalendar Islam selain pengalaman-pengalaman sebelum ini.

Ditambah pula ada laporan berita Akademi Sains Astronomi, Angkasa Lepas dan Teknologi Sharjah, Emeriah Arab Bersatu (UAE) melalui balai cerap astronominya mengeluarkan penentuan mengenai anak bulan Syawal 1447 Hijrah yang dijangka berlaku pada Jumaat, 20 Mac seperti dilaporkan Agensi Berita Emiriah (WAM).

Bagaimanapun dalam keghairahan berbincang itu, masyarakat perlu ingat bahawa penentuan hari pertama Syawal itu bukanlah perkara yang dibuat secara sembarangan atau semberono.

Di Malaysia, penetapan Hari Raya Aidilfitri dibuat melalui kaedah yang jelas iaitu rukyah (melihat anak bulan melalui cerapan di 29 tempat rasmi) dan hisab (pengiraan astronomi) yang diputuskan oleh pihak berautoriti agama negara.

Sebagai orang awam, tidak perlulah kita bertindak lebih pandai daripada pihak berautoriti dalam menentukan tarikh Aidilfitri ini dan tunggu sahajalah pengumuman rasmi pada penghujung Ramadan nanti.

Jika berlaku polemik seperti ini, maka jalan tengah yang boleh diambil ialah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan agar kita tidak terlalu ‘terkejut’ nanti.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow