Zaini Seru Sambut Penyatuan Presiden UMNO, Buka Ruang Perkukuh Perjuangan
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Dato' Sri Mohamad Zaini Salleh menyambut baik hasrat Presiden UMNO, yang membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada semua bekas ahli parti serta individu yang ingin kembali bersama perjuangan demi agama, bangsa dan negara.
Beliau berkata pendekatan yang diambil oleh Presiden UMNO itu mencerminkan kematangan politik serta keikhlasan kepimpinan parti dalam memperkukuhkan kembali kesatuan dan memperkasa perjuangan parti yang telah sekian lama menjadi tunjang kepada kestabilan negara.
Menurut beliau, langkah membuka ruang penyatuan tanpa syarat adalah satu strategi yang bijaksana dalam mendepani cabaran politik semasa, selain memberi peluang kepada semua pihak yang pernah bersama UMNO untuk kembali menyumbang kepada perjuangan parti.
“Seruan ini memperlihatkan sifat kepimpinan yang inklusif dan berpandangan jauh. Ia bukan sahaja membuka ruang kepada bekas ahli untuk kembali, malah memberi mesej jelas bahawa UMNO sentiasa bersedia menerima mereka yang ikhlas untuk bersama memperjuangkan agenda agama, bangsa dan negara,” katanya mengulas berkaitan hal terbabit.
Zaini berkata, semangat penyatuan ini amat penting bagi memastikan kekuatan orang Melayu dan umat Islam terus diperkasakan melalui wadah politik yang stabil dan berpengalaman.
Tambah beliau, UMNO sebagai sebuah parti yang menjengah usia 80 tahun telah melalui pelbagai cabaran sepanjang sejarahnya perlu terus bergerak dengan pendekatan terbuka serta berjiwa besar bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap perjuangan parti.
“Dalam suasana politik yang semakin mencabar, penyatuan adalah kunci kepada kekuatan. Justeru, langkah Presiden UMNO membuka pintu tanpa syarat ini wajar disambut dengan penuh keikhlasan oleh semua pihak yang masih mempunyai semangat perjuangan yang sama,” ujarnya.
Beliau turut yakin bahawa dengan kepimpinan yang berpengalaman serta pendekatan strategik yang diambil oleh pucuk pimpinan parti, UMNO mampu terus memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan politik negara serta menjaga kepentingan rakyat.
Pada masa yang sama, beliau menyeru semua pihak agar mengetepikan perbezaan lama dan kembali berganding bahu demi masa depan yang lebih kukuh untuk agama, bangsa dan tanah air.
“Perjuangan UMNO adalah perjuangan jangka panjang. Ia bukan sekadar soal politik semasa, tetapi tentang memastikan kesinambungan masa depan negara yang lebih stabil dan sejahtera,” katanya lagi.
Pada Jumaat, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa UMNO membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali menyertai parti, selaras dengan semangat Ramadan yang mengajak umat Islam bermuhasabah dan memperkukuh ukhuwah.
Apa Reaksi Anda?











