Perbicaraan kes rasuah, AMLA Muhyiddin bermula hari ini
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, bagi perbicaraan hari pertama kes menyalahgunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram (AMLA) RM200 juta hasil aktiviti haram berkaitan projek Jana Wibawa.
Muhyiddin memakai kot berwarna kelabu hadir pada jam 8.40 pagi dengan ditemani isteri yang menaiki kenderaan Toyota Alphard.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Prosiding akan bermula dengan pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membaca pernyataan pembukaan sebelum mendengar keterangan saksi pertama kes di hadapan Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin.
Muhyiddin diwakili barisan peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Amer Hamzah Arshad dan Datuk K Kumaraendran.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin yang ketika kejadian memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan, untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) ASPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen terbabit memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Muhyiddin turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1)
AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Apa Reaksi Anda?











