Sambutan 80 Tahun UMNO:UMNO Pahang Utamakan Kesejahteraan Rakyat
OLEH: AHMAD FANSURI MOHAMAD NASIR
80 tahun UMNO bukan sekadar angka atau sambutan kosong. Ia adalah manifesto perjuangan yang membuktikan siapa benar-benar bekerja untuk rakyat, dan siapa sekadar pandai petah berpidato.
Di Pahang, pentadbiran YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Besar Pahang, membuktikan bahawa politik yang berfungsi ialah politik yang menyentuh kehidupan sebenar rakyat, bukan retorik kosong atau janji palsu.
Kekalahan BN-UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan ke-15 menjadi titik kesedaran yang menyakitkan tetapi menyedarkan. Ia membuka mata parti bahawa kuasa dan pengaruh tidak bermakna jika rakyat tidak merasai hasil perjuangan. Politik bukan soal ceramah megah, poster cantik, atau slogan manis di media sosial.
Politik ialah soal keberkesanan, keberanian membuat keputusan yang tepat, dan fokus menyelesaikan masalah rakyat. Dari sini lahir kesedaran bahawa kerjasama politik dengan Pakatan Harapan, selaras titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bukan sekadar kompromi politik, tetapi langkah strategik demi kestabilan negara, keamanan rakyat, dan kesinambungan pembangunan. Sementara pihak pembangkang sibuk menuding jari, mengulang naratif lama dan politik murahan, UMNO Pahang bergerak, bekerja, dan membuktikan hasil.
Selama lapan tahun pentadbiran Wan Rosdy, Pahang menyaksikan transformasi yang nyata dan mengagumkan. Kutipan hasil negeri melebihi RM1 bilion empat tahun berturut-turut, menunjukkan pentadbiran yang cekap dan berkesan. Pelaburan berbilion masuk ke Pahang, memberi peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi rakyat. KDNK negeri terus mencatat prestasi terbaik, menandakan bahawa Pahang sedang melangkah ke arah negeri maju setanding Johor dan Selangor. Semua ini bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi bukti nyata bahawa kepimpinan berwibawa mampu membawa perubahan, membina negeri, dan memastikan rakyat sejahtera.
Dalam aspek sosial dan kesejahteraan, fokus pentadbiran jelas. Rakyat didahulukan dengan pelbagai bantuan kewangan, program pembangunan ekonomi, sokongan kepada golongan memerlukan, dan usaha menangani kos sara hidup semua dijalankan secara berkesan. Pendidikan modal insan diperkukuhkan melalui Akademi Pahang 1st, melahirkan generasi cemerlang dan berdaya saing. Anak-anak Pahang kini mengukir kejayaan di pelbagai bidang, dari akademik hingga sukan dan kerjaya profesional. Mereka membuktikan bahawa pendekatan pembangunan berfokus rakyat menghasilkan hasil nyata, bukan sekadar retorik politik.
Islam turut diperkasakan secara menyeluruh dengan peruntukan melebihi RM200 juta untuk institusi dan pembangunan agama, memastikan nilai agama dan identiti negeri tidak terpinggir dalam arus pembangunan duniawi. Ini menegaskan bahawa pentadbiran yang cemerlang bukan hanya melihat keuntungan ekonomi, tetapi juga pembangunan rohani dan sosial masyarakat.
Di pentas nasional, Wan Rosdy bukan sekadar memimpin Pahang beliau diangkat sebagai Naib Presiden UMNO 1, pengiktirafan terhadap kepimpinan yang terbukti mampu membawa negeri ke hadapan. Sementara pembangkang masih terkial-kial dengan naratif lama, politik murahan, dan retorik agama semata-mata, UMNO Pahang bergerak pantas, menunaikan tanggungjawab, menyelesaikan masalah rakyat, menarik pelaburan, memperkukuh ekonomi, dan memastikan rakyat sejahtera.
Mari kita menoleh kebelaang sebelum kekalahan parti BN-UMNO pada 2018, UMNO bukan sekadar parti politik, tetapi enjin pembangunan yang membina asas negara dan negeri. Dari kemerdekaan sehinggalah ke era moden, UMNO menjadi tulang belakang pembangunan Malaysia, dengan kepimpinan yang fokus kepada kesejahteraan rakyat, kestabilan ekonomi, dan pembinaan infrastruktur yang menyeluruh.
Di peringkat nasional, UMNO melalui kerajaan BN berjaya membangunkan negara menjadi lebih moden dan berdaya saing. Projek mega infrastruktur seperti kompleks pentadbiran Purtajaya, Cyberjaya, Lebuhraya Utara-Selatan, LRT, MRT, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dan pembangunan bandar satelit di seluruh negara membuktikan bahawa UMNO adalah sebuah parti yang mempunyai hala tuju, semua inisiatif itu memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Dasar pembangunan ekonomi yang berpandangan jauh telah memastikan KDNK negara meningkat, pelaburan asing masuk, dan peluang pekerjaan bertambah. Program seperti BR1M, bantuan pendidikan, serta subsidi asas menunjukkan bahawa kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi fokus.
Di peringkat negeri pula, UMNO memainkan peranan penting dalam memastikan negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka berkembang seiring dengan pembangunan nasional. Di Pahang contohnya, sebelum 2018, kerajaan negeri di bawah BN telah meletakkan asas pembangunan ekonomi, pendidikan, dan sosial yang kukuh. Projek pembangunan infrastruktur, peningkatan kutipan hasil, pelaburan ke sektor strategik, dan pembangunan modal insan telah dijalankan secara konsisten. Pendidikan agama dan institusi Islam turut diperkasakan dengan peruntukan besar, menunjukkan bahawa pembangunan negeri berjalan seiring dengan nilai dan identiti Islam.
UMNO juga menekankan pembangunan masyarakat melalui program sosio-ekonomi yang menyeluruh. Dari bantuan kepada golongan miskin bandar dan luar bandar, peluang perniagaan kepada usahawan tempatan, hingga pembangunan kawasan luar bandar yang selama ini terpinggir, semuanya dirancang untuk memastikan rakyat menikmati hasil pembangunan. Anak-anak negeri dibimbing melalui program pendidikan, kemahiran, dan pembangunan modal insan, menjadikan mereka lebih kompetitif di peringkat nasional.
Sambutan 80 tahun UMNO ini adalah pengingat keras, politik yang berfungsi bukan tentang ceramah memukau, media sosial penuh retorik, atau slogan kosong. Politik yang berfungsi ialah politik yang menyentuh kehidupan rakyat, membina negeri, memperkasakan masyarakat, dan memastikan negara stabil. Pahang kini berdiri teguh, maju, dan sejahtera kerana UMNO mempunyai pemimpin yang berpengalaman, berwawasan, mempunyai hala tuju, cekap mentadbir.
80 tahun bukan sekadar ulang tahun. Ia adalah bukti bahawa UMNO kekal relevan kerana ia belajar daripada kekalahan, berubah demi rakyat, dan bergerak ke hadapan dengan keberanian, kesungguhan, dan amanah. Pahang hari ini bukan negeri yang menunggu janji, tetapi negeri yang bergerak pantas, makmur, dan sejahtera. Ini adalah politik berfungsi. Ini adalah UMNO Pahang.
Apa Reaksi Anda?











