Sultan Pahang Cemar Duli Serah Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA)
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, semalam berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Kampung Leryar.
Lebih istimewa, keberangkatan Baginda pada jam 12 tengah hari itu dilakukan dengan memandu sendiri, disambut penuh mesra oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama wakil kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mr Aamer Alteneiji.
Pada majlis penuh bermakna itu, Sultan Abdullah berkenan menyerahkan kunci kediaman kepada 40 penerima daripada tiga daerah iaitu Cameron Highlands, Raub dan Bentong.
Projek Ru’RASA ini merupakan hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Pahang, Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) serta Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menyumbang dana besar menerusi keprihatinan Presiden UAE, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan.
Setakat ini, 450 unit rumah telah dirancang dibina. Fasa pertama telah siap sepenuhnya, manakala fasa kedua sedang dilaksanakan dengan sebahagiannya sudah boleh diduduki.
Dalam titah Baginda, Sultan Abdullah menzahirkan rasa syukur atas terbinanya projek Ru’RASA yang begitu dekat di hati Baginda sejak mula. Baginda sentiasa mengikuti perkembangan projek ini, malah berharap ia dapat diteruskan ke fasa ketiga dengan lebih cepat.
“Terima kasih di atas kebaikan dan harapan yang diberikan mereka kepada rakyat di sini. Berhubung dengan projek rumah ini, saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri melalui YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy, YB Setiausaha Kerajaan Pahang dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) di atas usaha dan kelicinan perjalanan membina sebanyak 450 unit kesemuanya dan saya dimaklumkan, fasa satu sudah siap sepenuhnya dan fasa kedua ada yang siap dan ada yang masih dibina.
“Kita rasa bertuah kerana rumah-rumah ini serba lengkap. Saya harap ia berjalan dengan sebaik mungkin dan secepat mungkin supaya boleh mula Fasa 3,” titah Baginda.
Dalam masa yang sama, Sultan Abdullah turut menitipkan pesan kepada penerima agar menghargai kediaman yang diberikan.
“Jadikanlah rumah yang diterima ini sebagai harta pusaka anak cucu, jangan fikir nak jual, nak sewa kepada orang lain.”
Fakta Menarik: Apa Itu Projek Ru’RASA?
Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) adalah inisiatif perumahan rakyat di bawah naungan Sultan Pahang dengan sokongan kerajaan UAE.
Setiap rumah dibina lengkap dengan kemudahan asas moden bagi memberi keselesaan kepada golongan berpendapatan rendah.
Projek ini juga dilihat sebagai simbol hubungan diplomatik erat Malaysia–UAE, khususnya dalam aspek kebajikan rakyat.
Pahang menjadi negeri pertama menerima manfaat projek kerjasama unik ini.
Masalah perumahan mampu milik telah lama menghantui rakyat Malaysia, termasuk di Pahang. Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan harga rumah di negeri ini masih tinggi berbanding kemampuan sebahagian besar rakyat, terutama di kawasan bandar.
Dengan adanya projek Ru’RASA, ia bukan sahaja menyediakan kediaman selesa, malah mengurangkan tekanan ekonomi rakyat. Pada masa sama, projek ini menjadi bukti bahawa diplomasi antarabangsa boleh diterjemahkan dalam bentuk pembangunan yang terus menyentuh kehidupan rakyat biasa.
Projek Ru’RASA adalah lebih daripada sekadar sebuah rumah. Ia melambangkan keprihatinan Sultan Pahang terhadap kesejahteraan rakyat, semangat kerjasama antara kerajaan negeri dengan negara sahabat, serta harapan untuk memastikan rakyat Pahang memiliki tempat tinggal yang selamat dan terjamin.
Titah Baginda agar penerima menjaga rumah masing-masing dengan baik bukan sekadar nasihat, tetapi satu amanah supaya rumah ini menjadi warisan berharga untuk generasi akan datang.
Apa Reaksi Anda?











