Pertanian Cameron Highlands Perlu Patuh ESG Demi Pasaran Global

Oleh : BARD
September 13, 2025 - 10:00 MYT
Pertanian Cameron Highlands Perlu Patuh ESG Demi Pasaran Global

Cameron Highlands sememangnya terkenal sebagai "lambung hijau" negara sebagai pengeluar utama sayur-sayuran, teh dan bunga yang membekalkan pasaran tempatan serta luar negara. Namun, di sebalik reputasi itu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menegaskan amalan pertanian di kawasan tanah tinggi ini mesti segera berubah mengikut piawaian dunia.

Baginda bertitah, para pengusaha kebun di Cameron Highlands perlu mengutamakan prinsip Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (Environmental, Social, Governance – ESG). Tanpa pematuhan kepada piawaian ini, hasil pertanian tempatan berisiko ditolak oleh pasaran antarabangsa.

“Pengusaha kebun di Cameron Highlands perlu menukar corak pertanian kerana dunia sekarang semakin canggih. Tanpa elemen ESG, mungkin produk yang kita keluarkan tidak akan dapat dijual di peringkat antarabangsa. Ia sudah pun berlaku,” titah baginda ketika merasmikan Sustainable Modern Agriculture Cameron Highlands (SMACH) Agropark Fasa 1 di Tringkap, Khamis lalu.

Al-Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa transformasi pertanian tidak boleh dilakukan secara bersendirian. Ia menuntut libat urus antara kerajaan, pakar pertanian dan pengusaha kebun.

Baginda menyarankan supaya pendekatan baharu digerakkan dengan lebih sistematik, termasuk penggunaan teknologi moden dan kaedah lestari yang selari dengan ESG.

“Perlu ada perbincangan untuk meningkatkan corak atau kaedah yang tepat di Cameron Highlands ini,” titah baginda.

Dalam titah berasingan, Sultan Pahang turut menyentuh isu penerokaan tanah haram yang telah lama menghantui Cameron Highlands. Bukit yang indah ditarah, hutan diteroka tanpa kawalan, dan kesannya bukan sahaja merosakkan ekosistem, tetapi juga memberi kesan buruk kepada sumber air dan keselamatan penduduk.

Baginda mengingatkan agar perkara itu dihentikan serta-merta dan semua pihak mesti bertanggungjawab, “Kita tidak mahu lagi lihat bukit dipotong sewenang-wenangnya. Tuan projek mesti bertanggungjawab pada bukit-bukit atau tanah yang dipotong. Saya sudah maklumkan kepada kerajaan negeri dan Exco supaya menjadikannya satu ‘benchmark’ kepada projek-projek akan datang.”

Isu yang dibangkitkan Sultan Pahang ini bukan sekadar teguran, tetapi realiti pasaran global. Negara-negara maju kini menilai produk import berdasarkan standard ESG. Tanpa pensijilan dan amalan lestari, produk Malaysia berisiko kehilangan pasaran bernilai tinggi.

Bagi Cameron Highlands yang menjadi ikon pertanian tanah tinggi negara, transformasi ini amat penting. Bukan sahaja untuk menjaga reputasi produk tempatan, tetapi juga untuk memastikan kelestarian alam sekitar demi generasi akan datang.

Titah Sultan Pahang adalah peringatan tegas bahawa pertanian hari ini bukan lagi sekadar hasilkan produk, tetapi perlu menjaga keseimbangan alam, kesejahteraan masyarakat, dan tadbir urus yang telus. Cameron Highlands mesti menjadi contoh pertanian moden dan lestari Malaysia.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow