PAS 74 Tahun, Calon PM Pun Tak Berani Umum

Oleh : BARD
September 12, 2025 - 17:00 MYT
PAS 74 Tahun, Calon PM Pun Tak Berani Umum

Kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man dalam muktamar Pemuda PAS hari ini hanya mengesahkan satu perkara PAS sebenarnya tidak ada calon perdana menteri yang berwibawa. Beliau mendakwa rakyat kini hilang kepercayaan kepada kepimpinan kerajaan sehingga timbul persoalan siapa calon perdana menteri selepas ini. Katanya ramai bertanya kepada PAS dan Perikatan Nasional tentang tokoh mana yang layak diangkat. Namun yang paling ketara ialah jawapan PAS sendiri tidak ada calon daripada parti mereka.

Selepas lebih tujuh dekad dalam politik, pernah duduk dalam kerajaan dan memegang jawatan menteri kanan, PAS masih gagal melahirkan tokoh nasional yang meyakinkan. Setiap kali muncul persoalan siapa perdana menteri, mereka hanya mengalih tumpuan dengan berkata “rakyat tanya kami” dan “rakyat tidak yakin dengan PM sedia ada.”

Hakikatnya, rakyat sebenarnya juga melihat PAS sebagai parti yang hanya pandai berselindung di sebalik nama Islam, tetapi tiada keupayaan memimpin di peringkat tertinggi. Di negeri SG4 yang mereka tadbir, terserlah kegagalan mereka berbanding negeri yang ditadbir oleh gabungan kerajaan perpaduan.

Di pantai timur, Kelatan dan Terengganu tidak mampu menandingi Pahang. Pahang telah mencapai negeri yang maju setanding dengan Johor dan Selangor. Kecemerlangan Pahang terserlah kerana menteri besarnya, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail fokus membangungan negeri dan rakyatnya berbanding berpolitik 24 jam seperti PAS.

Lebih memalukan, apabila Bersatu secara sepihak menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri ke-11 pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu mereka baru-baru ini, PAS tidak berani menentang. Mereka hanya berlembut, menyebut itu hak Bersatu yang perlu dihormati, sambil sekadar menambah bahawa mereka sedia menerima pandangan lain jika ada calon lain mahu diketengahkan. Bukankah itu tanda jelas PAS takut bersuara lantang kerana tidak mahu menyinggung dominasi Bersatu?

Jika benar PAS yakin rakyat menaruh harapan pada mereka, sepatutnya mereka bangkit menamakan calon daripada parti mereka sendiri dan bukan terus menjadi pak turut.

Sikap tunduk PAS ini memperlihatkan bahawa parti itu sebenarnya tidak serius mahu menjadi peneraju. Mereka hanya selesa menjadi penumpang, menempel di belakang Bersatu, dan kemudian menjual retorik agama untuk menutup kelemahan dalaman. Tuan Ibrahim dengan bangga mengatakan PAS menggunakan nama Islam kerana tidak mahu berbohong kepada rakyat. Tetapi soalan yang lebih asas ialah di mana tokoh Islamik mereka yang berani dipertaruhkan sebagai perdana menteri? Kalau benar yakin dengan “agenda Islam”, kenapa tidak ada seorang pun pemimpin PAS yang layak diumumkan?

Hakikatnya, PAS sudah lama ketandusan tokoh. Nama besar seperti Abdul Hadi Awang sendiri tidak pernah mendapat sokongan majoriti sebagai calon perdana menteri. Pemimpin lain pula tidak mampu menembusi persepsi nasional, hanya berlegar dalam politik kampung dan retorik ceramah. Sebab itu mereka lebih rela mengikut rentak Bersatu, walaupun sedar Bersatu sendiri sedang berpecah antara Muhyiddin dan Hamzah Zainudin.

Ironinya, PAS beria-ia mengkritik kerajaan kononnya gagal, kononnya rakyat mencari pemimpin baru. Tetapi apabila tiba giliran mereka, kosong. Tidak ada calon yang diyakini, tidak ada nama yang berani diumumkan. Yang ada hanya keberanian menunggang agama, tetapi tidak keberanian menampilkan kepimpinan.

Maka persoalan besar kepada PAS hari ini ialah ialah sampai bila mahu terus menyorok di bawah bayang Bersatu? Jika benar yakin akan kembali memerintah selepas PRU-16, jawapan pertama yang rakyat mahu dengar ialah siapa calon perdana menteri. Jika masih gagal menjawab soalan mudah itu, PAS tidak lebih daripada parti pak turut yang hanya pandai menuding jari ke arah orang lain.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow