Berbalas Pantun, Dedah Pergolakan Pas-PPBM Yang Tidak Ikhlas

Oleh : BARD
September 19, 2025 - 11:00 MYT
Berbalas Pantun, Dedah Pergolakan Pas-PPBM Yang Tidak Ikhlas

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Hasmuni Hassan menganggap kenyataan terbuka pemimpin Perikatan Nasional (PN) semakin menyerlahkan pergolakan dalaman antara Pas dan PPBM.

Menurutnya, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengeluh bahawa ada parti yang datang ‘bertanding syok saja’ tanpa duit dan jentera, sekadar menumpang keringat Pas.

Sebaliknya, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad membalas dengan nada jangan lupa siapa yang bayar ‘billboard’ dan kain rentang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu yang seolah-olah mahu mengingatkan Pas bahawa PPBM jugalah yang keluar belanja besar sebelum ini.

“Inilah yang terjadi bila gabungan dibina bukan atas keikhlasan perjuangan, tetapi atas perkongsian sementara. Pas merasakan dirinya bank yang menampung segala kos, PPBM pula tampil menuntut pengiktirafan sebagai penaja utama.

“Retoriknya sama sahaja, siapa lebih banyak berkorban, siapa lebih layak jadi ketua. Dari luar, ia kelihatan seperti keluarga yang sedang bergaduh tentang siapa bayar sewa rumah lebih banyak, sedangkan jiran-jiran hanya tersenyum menyaksikan drama.

“Lebih sinikal lagi, ‘pantun balas pantun’ ini bukan sekadar soal duit pilihan raya, tetapi soal kedudukan dan kepimpinan dalam PN. Bila Pas menyindir, Dr. Marzuki terasa perlu menegakkan cerita sumbangan Bersatu,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebooknya.

Mengulas lanjut Hasmuni yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu berkata, perebutan pengiktirafan antara Pas dan PPBM semakin ketara dan parti tersebut tidak mampu menanggung beban.

“Apabila PPBM menuntut pengiktirafan, Pas pula rasa dikhianati kerana angka kerusi jelas memihak kepada mereka. Retak kecil ini makin ketara, dan bila retak semakin merebak, tiang seri PN itu sendiri mungkin tidak mampu menanggung beban.

“Bagi rakyat, apa yang terpamer hanyalah hakikat bahawa PN lebih sibuk berkira siapa keluar modal, siapa bayar elaun PACA, siapa cetak bendera, berbanding berbincang tentang nasib pengundi,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, perbalahan yang semakin ketara ini ternyata gambaran yang jelas bahawa retak dalaman parti tersebut semakin sukar disembunyikan.

“Akhirnya, pantun berbalas pantun ini bukan sekadar gurauan. Ia adalah tanda jelas bahawa PN sedang menafikan realiti retak dalaman yang semakin sukar disembunyikan,” tegasnya.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow