Jawi, Identiti Bangsa & Kemajuan Negeri: Titah Sultan Pahang Seiring Aspirasi Kerajaan
Tulisan jawi bukan sekadar warisan, tetapi nadi kepada identiti bangsa Melayu. Itulah penegasan tegas yang disuarakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika bertitah pada Majlis Penutupan Konvensyen Antarabangsa Jawi & Warisan Melayu 2025 (INJAH 2025) semalam.
Baginda menekankan bahawa tulisan jawi tidak boleh dibiarkan sekadar menjadi khazanah lama yang terpinggir, sebaliknya mesti kembali berfungsi dalam kehidupan seharian daripada papan tanda perniagaan, urusan pentadbiran, hinggalah ke dunia digital tanpa sempadan.
“Tulisan jawi perlu terus berdenyut sebagai nadi kehidupan. Jika ia pupus, maka hilanglah sebahagian roh dan jiwa bangsa,” titah baginda.
Titah baginda ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Pahang yang sentiasa menekankan kesinambungan tradisi sambil melangkah maju dalam pembangunan moden.
Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, bukan sahaja memberi perhatian kepada aspek ekonomi dan pembangunan infrastruktur, tetapi turut memperkukuh aspek agama, pendidikan dan budaya.
Semua kejayaan yang telah dikecapi membuktikan bahawa kerajaan negeri bukan sahaja mengurus pembangunan material, tetapi juga berusaha memperkukuh jati diri bangsa dan tulisan jawi adalah sebahagian daripadanya.
Sultan Pahang turut menggariskan beberapa langkah penting yang boleh digerakkan kerajaan negeri dan agensi berkaitan, antaranya:
Penyeragaman penggunaan jawi di premis perniagaan, destinasi pelancongan dan dokumen rasmi.
Kursus intensif bagi melahirkan pakar jawi melalui kerjasama DBP, MUIP dan UniPSAS.
Pemanfaatan teknologi digital untuk membangunkan aplikasi serta platform media sosial berasaskan jawi agar dekat dengan generasi muda.
Penyelidikan manuskrip Melayu oleh IPT sebagai khazanah ilmu untuk generasi masa depan.Dalam konteks politik semasa, titah Tuanku ini membawa mesej besar bahawa kepimpinan negeri bukan sahaja perlu dilihat dari sudut pembangunan ekonomi, tetapi juga sebagai benteng mempertahankan warisan bangsa.
Kerajaan Negeri Pahang telah menunjukkan teladan jelas dengan pelbagai dasar dan inisiatif rakyat. Namun, kejayaan ini tidak boleh dipikul oleh kerajaan sahaja. Rakyat juga harus bersama-sama menjadi pelopor dan pendukung tulisan jawi, agar warisan Melayu-Islam ini terus hidup seiring dengan arus pembangunan moden.
Konvensyen INJAH 2025 bukan sekadar wacana ilmiah, tetapi simbol kesungguhan Pahang dalam mengetengahkan warisan Melayu ke peringkat antarabangsa. Kehadiran tokoh dari dalam dan luar negara, termasuk Jepun, membuktikan bahawa tulisan jawi memiliki nilai universal dan kekal relevan merentas zaman.
Sempena majlis itu juga, Sultan Pahang telah berkenan merasmikan Institut Jawi UniPSAS, melancarkan buku Mahir Jawi, serta menyampaikan sijil penghargaan Munsyi Dewan (Jawi) DBP kepada tokoh-tokoh dari Pahang.
Titah Sultan Pahang bukan sekadar pesanan budaya, tetapi satu manifesto perpaduan dan kemajuan untuk bagaimana warisan dan pembangunan mesti berjalan seiring. Dalam era dunia tanpa sempadan, tulisan jawi bukan hanya simbol sejarah, tetapi lambang kekuatan identiti bangsa yang terus dipelihara selari dengan pencapaian moden negeri Pahang.
Apa Reaksi Anda?











