Sumbangan kepada rakyat Palestin bukan melalui kedutaan negara itu di KL
KUALA LUMPUR: Kedutaan Palestin di Malaysia di sini, menafikan meminta sumbangan untuk rakyatnya disalurkan melalui pihaknya seperti didakwa pihak tertentu.
Dalam satu kenyataan di sini, ia memaklumkan pihaknya konsisten menekankan keperluan semua aktiviti pengumpulan dana dilaksanakan di bawah pengawasan, pemantauan dan kawalan pihak berkuasa bertanggungjawab di negara ini.
"Malangnya, beberapa pihak tetap mendakwa bahawa kedutaan dan duta Palestin meminta badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia menyumbang menerusi kedutaan. Ini sama sekali tidak benar.
"Selaras dengan arahan Pihak Berkuasa Palestin di Ramallah, kedutaan sentiasa bersedia dan tidak akan menyekat usaha untuk memberikan bantuan dan kemudahan melalui saluran diplomatik.
"Ia termasuk Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin di bawah Kementerian Luar Malaysia, Kedutaan Malaysia di Jordan dan Mesir dan akaun bank Bulan Sabit Merah Palestin," katanya.
Kenyataan kedutaan berkenaan turut menyatakan ketika ini, Palestin berada di bawah penjajahan Israel dan semua sempadan udara, laut dan darat negara itu berada di bawah kawalan pihak berkuasa Israel.
"Bagi memudahkan kemasukan sebarang bantuan ke Palestin, penyelarasan perlu dibuat melalui negara jiran iaitu Mesir dan Jordan.
"Barangan untuk dihantar ke Gaza perlu dibuat melalui pihak berkuasa Mesir, manakala barangan untuk wilayah barat dan Baitulmaqdis dibawa masuk melalui pihak berkuasa Jordan," katanya.
Kedutaan Palestin turut menyatakan penghargaan kepada seluruh rakyat dan kerajaan Malaysia atas pendirian dan sokongan padu yang diberikan terhadap rakyat negara itu daripada segi politik, moral mahupun kewangan. - SUMBER
Apa Reaksi Anda?











