Tasik Chini Bakal Berwajah Baharu? ADUN Chini Cadang Inisiatif Lonjak Pelancongan

Oleh : BARD
Disember 10, 2025 - 10:00 MYT
Tasik Chini Bakal Berwajah Baharu? ADUN Chini Cadang Inisiatif Lonjak Pelancongan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Dato' Mohd Sharim Md Zain mencadangkan beberapa langkah strategik bagi mengembalikan kegemilangan Tasik Chini sebagai destinasi ekopelancongan utama di Pahang.

Menurut beliau, Tasik Chini yang juga salah satu daripada tiga Rizab Biosfera UNESCO di Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai pusat pelancongan berasaskan alam semula jadi.

“Melalui peranan Perbadanan Taman Negeri dan Tourism Pahang, kita mampu memulihkan serta memperkukuh daya tarikan Tasik Chini kepada pelancong tempatan dan antarabangsa,” katanya ketika berbahas pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang.

Antara inisiatif yang dicadangkan beliau termasuk:

Pembinaan menara tinjau untuk menikmati panorama Tasik Chini.

Penyediaan laluan pejalan kaki dan trek trekking bagi aktiviti rekreasi.

Penubuhan galeri warisan dan pusat interpretasi alam.

Pembinaan eko-resort bertaraf antarabangsa bagi menarik lebih ramai pelancong premium.

Dalam perbahasannya, Mohd Sharim turut menyatakan sokongan padu terhadap komitmen kerajaan negeri dalam memajukan kawasan luar bandar. Namun, beliau mengemukakan beberapa aspek yang perlu diberi keutamaan, termasuk:

Peningkatan capaian internet dan liputan telekomunikasi di kampung tradisi bagi merancakkan ekonomi digital.

Program baik pulih rumah uzur, khususnya melibatkan warga emas dan ibu tunggal.

Geran mikro usahawan desa bagi membantu pengusaha kecil memasarkan produk kampung ke platform digital.

Beliau yakin, pelaksanaan inisiatif seperti digitalisasi usahawan desa dan pembangunan platform jualan produk kampung akan membuka peluang pendapatan baharu kepada masyarakat luar bandar.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow