Terbabit ideologi IS lima ahli keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram didakwa
Lima ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota polis, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Rabu atas sembilan pertuduhan termasuk menggalak dan menanam ideologi kumpulan pengganas Islamic State (IS).
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Kesemua tertuduh terdiri daripada Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62 tahun isterinya, Rosna Jantan 59 tahun yang juga warga Singapura dan tiga anak mereka Radin Romyullah, 34 tahun, Farhah Sobrina, 23 tahun dan Mariah, 19 tahun.
Radin Imran didakwa atas empat pertuduhan termasuk Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas Islamic State (IS) kepada semua ahli keluarga.
Sementara anak sulungnya pula berdepan dua pertuduhan manakala isteri dan dua anak perempuan Radin Imran pula masing-masing hanya berhadapan satu pertuduhan.
Apa Reaksi Anda?











