Kad Kesihatan Kasih Makmur Edisi Pahlawan: Penghargaan Bermakna Kerajaan Pahang untuk Veteran ATM dan PDRM
Kerajaan Negeri Pahang terus mengorak langkah dalam memperkasa agenda kebajikan sosial dengan melancarkan Kad Kesihatan Kasih Makmur Edisi Pahlawan, khusus buat pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menetap di negeri ini.
Inisiatif ini diumumkan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail sempena Majlis Minum Petang Veteran ATM dan PDRM Negeri Pahang bersempena Sambutan Hari Pahlawan 2025.
Sebanyak RM5 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi fasa pertama pelaksanaan bermula tahun 2026. Seramai 10,000 veteran ATM dan PDRM akan menerima manfaat kesihatan bernilai RM500 setiap seorang menerusi kad ini.
Kad ini boleh digunakan bagi tujuan seperti rawatan perubatan asas di klinik swasta berdaftar dengan kerajaan negeri,pembelian ubat-ubatan,saringan kesihatan berkala dan akses lebih cepat tanpa perlu menunggu lama di fasiliti kesihatan awam.
Menurut YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy, inisiatif ini bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah bertujuan mengurangkan beban masa menunggu untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.
“Veteran negara kita telah mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan kedaulatan tanah air. Maka menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk memastikan kebajikan kesihatan mereka terpelihara,” ujar beliau.
Dalam majlis sama, kerajaan negeri turut mengumumkan geran tahunan RM50,000 kepada Persatuan Veteran ATM Pahang, dan geran RM50,000 kepada Persatuan Veteran PDRM Pahang
bagi membantu kelangsungan program kebajikan dan aktiviti komuniti yang dijalankan oleh kedua-dua persatuan.
Pelancaran Kad Kesihatan Kasih Makmur Edisi Pahlawan ini merupakan salah satu inisiatif di bawah kerangka Aspirasi Pahang 1st, yang menekankan prinsip pembangunan inklusif dan tidak meminggirkan mana-mana lapisan masyarakat, terutama golongan yang telah berjasa.
“Kita bukan sahaja mahu membina jalan dan bangunan, tetapi juga jambatan kasih antara kerajaan dan rakyat. Penghargaan sebenar kepada pahlawan negara mesti diterjemahkan melalui dasar dan tindakan yang nyata,” tegas Wan Rosdy.
Beliau turut menyeru lebih banyak agensi kerajaan, syarikat swasta dan individu dermawan tampil memberikan sokongan kepada komuniti veteran sama ada dalam bentuk bantuan kebajikan, peluang pekerjaan mahupun sokongan sosial.
#Pahang1st
#MajuTerusPahang
#DemiNegerikuDarukMakmur
Apa Reaksi Anda?











