UMNO Perlu Bangkit Bersatu: Sudah Tiba Masa Kukuhkan Barisan, Tinggalkan Sengketa
“Cukuplah berpecah. Sekarang masa untuk rapatkan saf dan kukuhkan perjuangan!” itulah seruan tegas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Raub merangkap ADUN Dong, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal, dalam mengulas cabaran dan harapan buat UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Berucap selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Raub yang dirasmikan sendiri oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliau menekankan betapa pentingnya perpaduan dalaman sebagai kunci kekuatan parti.
“Ucapan Presiden sangat ikhlas, sangat menyentuh hati. Beliau memberi mesej jelas bahawa kita kalah sebelum ini kerana kita berpecah. Jangan ulangi kesilapan yang sama,” ujar Fadzli.
Kekalahan UMNO dan Barisan Nasional dalam dua pilihan raya umum lalu bukan sekadar statistik tapi ia adalah tamparan yang harus membuka mata setiap lapisan kepimpinan dan ahli di akar umbi. Menurut Fadzli, mesej itu telah disampaikan secara berterus terang oleh Presiden parti.
“Setiap pimpinan, dari pusat hingga ke cawangan, perlu memainkan peranan. Tidak boleh lagi ada sengketa kecil yang melemahkan barisan,” katanya tegas.
Beliau turut menekankan bahawa perpaduan bukan hanya untuk Raub, tetapi agenda nasional yang harus diterapkan menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah dan PRU akan datang.
Mengulas isu kerusi Parlimen Raub, Fadzli menyatakan bahawa keputusan sama ada UMNO akan bertanding semula di situ adalah di bawah kebijaksanaan kepimpinan pusat.
“Yang penting, kita sebagai ahli harus bersedia dan akur. Apa juga keputusan tertinggi parti, kita kena berdiri teguh di belakangnya. Keutuhan UMNO selama ini adalah hasil kebijaksanaan pemimpin yang kita amanahkan,” ujarnya lagi.
Majlis perasmian mesyuarat perwakilan kali ini turut memperlihatkan kekuatan sokongan apabila Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail hadir bersama barisan kepimpinan negeri antaranya Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, YB Dato' Indera Shahar Abdullah dan Ketua UMNO Bahagian Maran, Dato' Sri Shahaniza Shamsuddin.
Kehadiran mereka menjadi simbol solidariti dan kesediaan untuk bekerja bersama dalam membina semula kekuatan parti.
Kesimpulannya, UMNO tidak boleh lagi menoleh ke belakang. Masa untuk menyatukan hati, menyusun langkah, dan melangkah ke medan perjuangan dengan barisan yang padu telah tiba. Sengketa harus dilupakan. Yang utama kini adalah menang bersama!
Apa Reaksi Anda?











