UMNO Satu-Satunya Rumah Bangsa, Bukan Retorik Politik
Ketua UMNO Bahagian Kepong, TPr Abdul Razak Abdul Rahman menegaskan bahawa gagasan Rumah Bangsa UMNO bukan sekadar slogan politik atau retorik semasa, sebaliknya satu hakikat berasaskan sejarah, jasa dan kemampuan UMNO dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara.
Menurut beliau, sepanjang sejarah penubuhan negara, UMNO terbukti sebagai satu-satunya parti yang konsisten menjadi benteng dan tempat berpaut bangsa Melayu serta Bumiputera dalam menghadapi pelbagai cabaran politik, ekonomi dan sosial.
“Gagasan Rumah Bangsa ini bukan kenyataan kosong. Ia membuktikan bahawa UMNO adalah satu-satunya entiti politik yang benar-benar mampu menjadi tempat kita menangani masa depan bangsa sendiri.
“Rumah Bangsa UMNO merupakan satu jemputan terbuka kepada semua pihak yang pernah bersama perjuangan parti, termasuk mereka yang mungkin tercicir, terpinggir atau terpisah akibat perbezaan pandangan politik sebelum ini.
“Pintu UMNO sentiasa terbuka. Ini adalah ruang seluas-luasnya untuk kembali bersatu demi memastikan bangsa kita, negara kita dan agama kita terus kekal relevan dan dipertahankan pada masa hadapan,” katanya kepada UMNO Online.
Seterusnya kata Abdul Razak, cadangan Presiden UMNO Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akan mengadakan Musyawarah Nasional, sebagai satu isyarat jelas kematangan politik UMNO.
“Musyawarah Nasional ini boleh menjadi satu ruang untuk kita mencari titik kebersamaan antara mana-mana blok, mana-mana pihak, mana-mana parti, mana-mana individu untuk sama-sama menjadikan supaya musyawarah ini sebagai satu ruang untuk kembali bersama.
“UMNO tidak pernah menutup pintu rundingan. Kita mempunyai pilihan dan ruang untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang mempunyai aspirasi selari demi masa depan rakyat dan negara,” ujarnya lagi.
Apa Reaksi Anda?











