Rumah Bangsa UMNO Wadah Penyatuan Melayu Islam
Konsep Rumah Bangsa UMNO merupakan sebuah wadah penyatuan besar yang melangkaui sempadan parti politik, ideologi serta kepentingan peribadi demi kepentingan agama dan bangsa Melayu Islam.
Timbalan Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Mohd Asna Amin berkata, inisiatif tersebut membuka ruang kepada semua orang Melayu untuk berada dalam satu kumpulan tanpa perlu meninggalkan bangsa atau menafikan hak kaum lain, sebagaimana yang telah dibuktikan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh menjadi kerajaan penuh sebelum ini.
“Usaha ini bertujuan memperkukuh persefahaman, menyelaras pendirian serta membincangkan isu-isu kepentingan agama dan bangsa secara bersama serta bertujuan mewujudkan kesepaduan pemikiran dan tindakan politik Melayu Islam secara lebih tersusun dalam mendepani cabaran semasa landskap politik negara.
“Bagi merealisasikan hasrat tersebut, satu Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa akan ditubuhkan bagi menerima penyertaan semula mana-mana individu atau kumpulan yang ingin kembali ke pangkuan UMNO,” katanya kepada UMNO Online.
Mohd Asna yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng menjelaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka membuka pintu seluas-luasnya kepada parti-parti politik berteraskan Melayu dan Islam.
“Rumah Bangsa UMNO sentiasa terbuka luas kepada semua pihak yang mahu kembali menyumbang kepada penyatuan dan kekuatan umat Melayu, tanpa mengira latar belakang atau perbezaan untuk bersama-sama memikirkan soal kepentingan Melayu dan Islam di negara ini.
“Rumah Bangsa UMNO ini dilihat membuka dimensi baharu hala tuju perjuangan parti dengan penekanan kepada aspek keterbukaan pemikiran serta pendekatan politik berteraskan rundingan dan Musyawarah Nasional.
“Ia turut mengurus selia dan membincang agenda politik Melayu yang menyentuh soal kedudukan agama Islam, politik, ekonomi, pendidikan, perpaduan dan masa depan anak-anak bangsa,” katanya lagi.
Beliau juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, turut menyeru semua pihak agar mengetepikan perbezaan demi kepentingan yang lebih besar, khususnya dalam memperkukuh perpaduan politik Melayu Islam.
“Marilah kita bersama-sama di bawah satu Rumah Bangsa kerana wadah penyatuan yang melangkaui sempadan parti politik, ideologi dan kepentingan peribadi,” ujarnya.
Apa Reaksi Anda?











