668 Pelajar Cemerlang Terima Insentif Pendidikan RM1 Juta: Pahang Terus Perkasa Agenda Ilmu
Seramai 668 pelajar cemerlang SPM, STPM dan STAM 2024 diraikan dengan pemberian insentif pendidikan berjumlah RM1 juta sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri Pahang terhadap usaha gigih mereka menimba ilmu.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam mengiktiraf kecemerlangan pelajar sekali gus memupuk semangat bersaing secara sihat dalam kalangan generasi muda.
“Daripada jumlah keseluruhan RM1 juta, sebanyak RM668,000 disalurkan kepada pelajar cemerlang hari ini. Baki peruntukan diminta agar dimanfaatkan oleh Exco Pendidikan Negeri, YB Dato' Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak bagi memenuhi keperluan pendidikan lain di Pahang,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan SPM, STPM dan STAM 2024 Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, semalam.
Pecahan penerima insentif melibatkan seramai 591 pelajar SPM yang memperolehi semua A, 65 pelajar STPM yang menraih PNGK 4.0 serta 12 pelajar STAM mencapai Mumtaz kesemua mereka menerima insentif tunai RM1,000.
Selain itu, 71 buah sekolah turut menerima Anugerah Khas bernilai RM3,000 setiap satu sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan pengurusan sekolah dalam melahirkan pelajar berkualiti.
Menurut Wan Rosdy, peperiksaan utama seperti SPM, STPM dan STAM bukan sekadar penilaian akademik, malah ia menjadi pintu masuk penting untuk menentukan hala tuju anak-anak muda sama ada ke menara gading, pasaran kerja atau kepimpinan masyarakat pada masa depan.
“Pendidikan yang berkualiti adalah bekalan sebenar menghadapi dunia penuh cabaran. Kejayaan ini bukan mudah, ia lahir daripada doa, disiplin dan usaha berterusan,” katanya sambil menasihatkan pelajar agar menjadikan kecemerlangan ini sebagai permulaan, bukan penamat.
Kerajaan Negeri Pahang turut menegaskan bahawa pelbagai bantuan akan terus digerakkan bagi memastikan tiada anak negeri yang tercicir dalam pendidikan, antaranya:
Yayasan Pahang – biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pelajaran.
Inisiatif Makmur Pahang (I.M Pahang) – termasuk penyediaan buku rujukan percuma kepada puluhan ribu calon SPM, STPM dan STAM setiap tahun.
Program Ruang Belajar Digital – memperkasa pembelajaran berasaskan teknologi selari dengan era digitalisasi.
“Ilmu adalah pelita kehidupan. Selagi kita terus mengejarnya, insya-Allah anak-anak Pahang akan menjadi generasi berilmu, berakhlak, berkemahiran dan berdaya saing,” tegas Wan Rosdy.
Apa Reaksi Anda?











