SD Singkir Muhyiddin: Saat Abah Jadi Beban Dalam Bersatu

Oleh : BARD
September 10, 2025 - 15:50 MYT
SD Singkir Muhyiddin: Saat Abah Jadi Beban Dalam Bersatu

Bersatu kini sedang bergolak hebat. Dari luar parti, imejnya kelihatan masih kukuh, masih bersama dalam kerangka Perikatan Nasional. Tetapi di dalam, hakikatnya retak menanti belah. Gerakan mengumpul Akuan Bersumpah (SD) untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden kini sudah menjadi rahsia terbuka. Kalau dahulu SD digunakan untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan 1.0 atau mengubah kerajaan, kali ini senjata yang sama sedang digunakan oleh orang dalam Bersatu sendiri untuk menamatkan karier politik Muhyiddin dalam partinya.

Muhyiddin yang dahulu disanjung dengan panggilan “Abah” kini semakin tidak relevan. Aura yang pernah ada sudah lama pudar, malah ramai melihat beliau kini hanya menjadi liabiliti besar kepada parti. Sejak kejatuhan kerajaan pintu belakang yang dipimpinnya, Bersatu semakin hilang arah. Kerusi banyak tetapi kuasa makin tipis. Dalam Perikatan Nasional, Muhyiddin gagal menonjolkan kepimpinan, sebaliknya membiarkan PAS menguasai naratif dan hala tuju gabungan. Akhirnya, Bersatu jadi pelengkap semata-mata, melukut di tepi gantang, tanpa keupayaan menentukan masa depan sendiri.

Munyiddin tidak lagi dilihat bersih kerana berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd.

Lebih parah, kepimpinan bahagian yang sepatutnya menjadi tulang belakang parti sudah muak dengan gaya Muhyiddin yang lesu dan tidak berdaya. Mereka merasakan parti dipimpin tanpa visi, tanpa pelan masa depan, dan tanpa semangat untuk mengembalikan kepercayaan rakyat. Dari sinilah muncul gelombang penentangan yang diterjemahkan melalui SD. Gerakan itu bukan mainan politik semata-mata, tetapi refleksi sebenar hilangnya kepercayaan bahagian terhadap Presidennya. Muhyiddin cuba bertahan dengan wajah tenang, namun kebenarannya beliau semakin ditolak dari dalam.

Di balik gerakan ini, nama Datuk Seri Hamzah Zainudin disebut-sebut sebagai dalang utama. Hamzah bukan orang baru dalam politik licik, beliau punya rangkaian luas di bahagian, pengaruh kuat di peringkat negeri dan imej sebagai perancang yang berani.

Beliau tahu kelemahan Muhyiddin, beliau sedar parti tidak lagi percaya kepada kepimpinan lama, dan kini beliau mengatur langkah untuk mengambil alih tampuk kuasa dengan menggunakan senjata paling ampuh iaitu SD. Ramai percaya Hamzah sudah lama menunggu detik ini, dan SD hanyalah alat untuk merasmikan kejatuhan seorang Presiden yang sudah kehilangan taring.

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz juga mengakui SD itu dilakukan oleh kumpulan Hamzah Zainuddin.

Bersatu kini berdepan dilema besar. Jika Muhyiddin cuba berkeras mempertahankan jawatan, konflik dalaman akan semakin membusuk dan parti akan pecah lebih awal daripada yang dijangka. Jika beliau berundur, jalan untuk Hamzah dan pasukannya terbuka luas, tetapi itu tetap tidak menjamin kestabilan penuh kerana luka perpecahan sudah pun tercipta. Apa pun hasilnya, sejarah akan mencatatkan bahawa Muhyiddin bukan lagi tokoh penyelamat, tetapi sekadar presiden yang ditolak oleh akar umbi, dilupakan oleh bahagian, dan akhirnya disingkirkan oleh tangan kanannya sendiri.

Inilah wajah sebenar Bersatu hari ini. Parti yang namanya menjanjikan kesatuan, tetapi presidennya menjadi punca perpecahan. “Abah” yang dulu diagungkan kini tidak lebih daripada liabiliti, menunggu masa untuk dilupuskan. Dan apabila SD itu lengkap dan diletakkan di atas meja, tamatlah riwayat Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu bukan kerana serangan musuh luar, tetapi kerana tikaman dari dalam rumahnya sendiri.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow