“URA 2025: PAS/PN Pernah Sokong, Kini Menyalak Demi Publisiti”

Oleh : BARD
Ogos 27, 2025 - 16:33 MYT
“URA 2025: PAS/PN Pernah Sokong, Kini Menyalak Demi Publisiti”
Kredit: MalaysiaGazzete

Isu RUU URA 2025 ini tiba-tiba jadi bahan serangan pembangkang, kononnya kerajaan Madani mahu merampas hak rakyat, paksa jual rumah pusaka, dan menghapuskan identiti setempat. Tapi bila kita buka sejarah, siapa yang mula dulu? Jawapannya bukan kerajaan Madani.

Cadangan URA ini mula digerakkan sejak zaman berkas Perdana Menteri ke-6, Dato’ Sri Mohd Najib Razak jadi Perdana Menteri lagi. Tahun 2012 idea dicetuskan, 2013 draf undang-undang sudah siap, kemudian dasar pembaharuan bandar diperkenalkan pada 2020 oleh Tan Sri Annuar Musa dari UMNO (ketika itu bersama PN). Disambung pula oleh Datuk Zuraida Kamaruddin (PKR) pada 2021, Dato’ Sri Shahidan Kassim (UMNO) zaman PN juga pada 2022, dan akhirnya kini jatuh ke tangan Nga Kor Ming (DAP).

Maksudnya, semua parti besar seperti UMNO, BN, PN, PKR, DAP pernah terlibat dalam mencorakkan URA ini. Termasuklah PAS yang masa jadi kerajaan bersama PN pun tidak pernah membantah dasar ini. Tapi hari ini, bila mereka jadi pembangkang, tiba-tiba berpura-pura jadi hero rakyat, konon membela rumah pusaka orang kampung. Bukankah ini lawak jenaka politik?

PAS dan sekutunya memang terkenal dengan politik dua muka. Ketika berkuasa, mereka diam membisu. Zaman Perikatan Nasional memerintah, adakah PAS bangun menentang dasar ini?

Jawapannya tidak. Adakah mereka berjuang mempertahankan tanah pusaka atau Tanah Rizab Melayu? Tidak. Sebaliknya mereka akur, kerana mereka tahu bandar-bandar lama memang tidak akan boleh dibangunkan tanpa undang-undang baharu. Tetapi hari ini, bila mereka sudah hilang kuasa, barulah mereka meniup api kebencian, konon kerajaan Madani zalim dan mahu merampas rumah orang Melayu.

Isu sebenar RUU URA ini bukan soal kerajaan atau pembangkang. Ia soal bagaimana kita membangunkan bandar lama yang semakin uzur. Masalah besar hari ini ialah undang-undang lama mensyaratkan 100 peratus persetujuan pemilik. Dalam realiti, ia mustahil. Rumah pusaka yang diwarisi adik beradik, seorang duduk di Penang, seorang di Singapura, seorang di UK, belum masuk generasi waris seterusnya seorang sahaja membantah, habislah terbantut seluruh pembangunan. Akhirnya kawasan bandar lama terus terbiar, nilai jatuh, jadi tempat masalah sosial.

Justeru URA menurunkan syarat persetujuan. 75 peratus untuk kawasan lebih 30 tahun, 51 peratus untuk bangunan usang dan bahaya. Itu pun PAS masih mahu spin kononnya rakyat dipaksa jual rumah. Hakikatnya, kita sudah ada Akta Pengambilan Tanah 1960 yang membenarkan pengambilan tanah demi kepentingan awam. Bezanya, URA tambah tujuan pembaharuan bandar. Pemilik tetap akan diberi pampasan mengikut nilai pasaran semasa.

PAS tahu semua ini. Mereka tahu undang-undang pengambilan tanah bukan perkara baharu. Mereka tahu pampasan wajib dibayar. Mereka tahu isu pampasan dan rundingan boleh diperjuangkan dalam peringkat pelaksanaan. Tetapi mereka sengaja membodohkan rakyat dengan naratif menakut-nakutkan, seolah-olah rumah pusaka akan dirampas tanpa ganti rugi.

Apa yang PAS tidak mahu sebut ialah peluang yang masih ada untuk penduduk menuntut faedah tambahan sama ada diskaun beli unit baharu, kemudahan awam, kuota B40, atau perlindungan warisan. Mereka juga tidak mahu cerita bahawa gentrifikasi bukan isu Malaysia sahaja, tetapi masalah global yang memerlukan pendekatan bijak, bukan penolakan membuta tuli.

Kalau PAS benar-benar ikhlas, mereka patut berdepan dengan kerajaan di Parlimen, mengemukakan pindaan untuk melindungi Tanah Rizab Melayu, wakaf, tanah adat, dan kawasan warisan. Tapi itu bukan cara PAS. Cara mereka mudah tiupkan kebencian, bakar sentimen, dan beri gambaran kerajaan mahu merampas hak rakyat. Politik murahan begini sudah basi, tapi itulah modal utama PAS kerana mereka tidak pernah ada idea membina.

Kesimpulannya, URA 2025 ini adalah keperluan yang sudah lama dirancang sejak zaman BN, disokong PN, dan kini diteruskan oleh kerajaan Madani. Ia tidak sempurna, memang banyak ruang penambahbaikan. Tetapi menolak bulat-bulat hanya kerana mahu jadi pembangkang populis adalah tindakan hipokrit. Rakyat perlu tahu, PAS dan PN bukan pejuang rumah pusaka anda, mereka hanya penunggang isu yang cuba menutup hakikat bahawa ketika mereka berkuasa dulu, mereka sendiri yang menggerakkan dasar ini.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow