AKIBAT PELABURAN YANG TIDAK MUJUD KERANI BANK KERUGIAN RM585,000
Akibat 'gelap mata' ditawar keuntungan 51 kali ganda dengan hanya melabur RM300, seorang kerani bank wanita kerugian RM585,700 akibat melabur dalam skim pelaburan tidak wujud, bulan lalu.
Lebih menyedihkan, ibu kepada seorang anak berusia 52 tahun itu dikatakan sanggup mengeluarkan duit simpanan Tabung Haji, simpanan tetap bank, Amanah Saham Nasional serta menjual dan menggadai beberapa barang kemas semata-mata untuk 'mengejar' keuntungan pelaburan itu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, berkata mangsa membuat laporan mengenai penipuan pelaburan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin jam 11.04 pagi kelmarin.
Berdasarkan laporan katanya, mangsa mendakwa dia berhubung dengan seorang wanita melalui WhatsApp yang memperkenalkan diri sebagai pegawai perunding bagi pelaburan berkaitan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 5 Oktober lalu.
"Wanita itu memberitahu plan skim pelaburan itu hanya untuk tiga hingga enam jam sahaja dan mangsa (pengadu) boleh membuat pelaburan sebanyak RM300 dan akan memperoleh keuntungan sebanyak RM15,467.
"Suspek juga menyatakan tiada yuran broker dan caj tersembunyi dikenakan untuk pelaburan MIDA itu selain pemindahan pulangan segera dan kos pelaburan yang rendah dengan keuntungan besar hingga menarik minat mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Jamil berkata, mangsa yang teruja dengan tawaran 'tidak masuk akal' itu akhirnya bersetuju untuk memulakan pelaburan berkenaan dan membuat satu transaksi berjumlah RM300 ke akaun Maybank atas nama seorang individu dikenali 'Abang Rahmani bin Abang Mohidin'.
"Mangsa kemudiannya membuat 64 transaksi lagi ke dalam 31 pemilik akaun berjumlah RM585,400 bagi pelaburan itu.
"Wanita itu hanya menyedari ditipu apabila diberitahu pihak syarikat telekomunikasi meminta bayaran pendahuluan bil telefon bagi pelaburan itu berjumlah RM10,000 dan tampil membuat laporan polis," katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati suami wanita itu tidak mengetahui kejadian dan mangsa hanya menceritakan kepada abang kandung selepas wang simpanannya habis. - SUMBER
Apa Reaksi Anda?











