Annuar Musa - Kelantan pun gagal, Pahang pula yang dia hendak ajar?

Oleh : BARD
September 3, 2025 - 17:00 MYT
Annuar Musa - Kelantan pun gagal, Pahang pula yang dia hendak ajar?

Nama Tan Sri Annuar Musa bukan asing dalam dunia politik tanah air. Malangnya, nama itu tidak pernah sinonim dengan kemajuan, malah lebih dekat dengan pengkhianatan, kegagalan, dan kegelojohan kuasa. Dari muda hingga beruban, beliau hidup dengan tiket UMNO, menjulang jawatan demi jawatan, menjadi menteri berpenggal-penggal, memegang tampuk kuasa di peringkat persekutuan, tetapi apa yang rakyat Kelantan dapat? Kosong. Negeri kekal mundur, jauh ketinggalan dari sudut pembangunan, pekerjaan, ekonomi, malah infrastruktur asas.

Semalam, semasa berceramah Pra Hogoh Jelai di Lanchang, Pahang, beliau tanpa segan silu mengritik kerajaan negeri Pahang di bawah pentadbiran Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail. Mungkin semasa beliau berpidato, beliau lupa dengan kegagalan kerajaan negeri Kelantan yang diperintah oleh Pas bertahun-tahun lamanya.

Sebelum beliau sibuk hendak "menasihati" negeri orang lain, rakyat berhak bertanya apa jasa sebenar Annuar Musa kepada Kelantan? Kalau setakat bercakap soal politik, berceramah penuh slogan, itu semua memang dia pakar. Tetapi bila tiba soal rekod kerja, bukti pembangunan, atau wawasan membina negeri sejarahnya menunjukkan satu kegagalan besar. Kelantan hari ini masih miskin, masih tercorot, masih tidak mampu mengejar negeri lain. Annuar Musa tidak ubah seperti "arkitek retorik" tanpa pelan pembangunan.

Lebih memualkan, selepas kenyang dengan kuasa, beliau akhirnya menikam parti sendiri. UMNO yang membesarkan beliau, yang memberinya jawatan dan kedudukan, dihumban ke tepi apabila beliau merasakan ada peluang baru untuk dirinya. Inilah wajah sebenar Annuar Musa  pemimpin pengkhianat yang tidak pernah kenal erti kesetiaan. Kalau parti sendiri boleh dikhianati, apatah lagi rakyat?

Justeru, bila muncul suara Annuar Musa cuba memberi cadangan atau saranan untuk negeri Pahang, rakyat hanya mampu ketawa sinis. Kelantan pun gagal, Pahang pula yang dia hendak ajar? Sungguh lawak politik yang tidak masuk akal. Apalah nilai idea seorang yang tidak pernah berjaya membangunkan negeri sendiri, tetapi tiba-tiba mahu tampil sebagai "penasihat bijak pandai" untuk negeri orang.

Pahang tidak perlu mendengar cakap seorang seperti ini. Negeri ini sudah pun terbukti berada di landasan pembangunan yang lebih baik daripada segi ekonomi, pelaburan, kebajikan rakyat dan infrastruktur. Hasil tangan pentadbiran negeri yang stabil jauh lebih membumi daripada "petua kosong" seorang pemimpin pengkhianat.

Akhir kata, apa sahaja yang keluar dari mulut Annuar Musa hari ini bukanlah saranan, tetapi bunyi kosong seorang ahli politik yang ketandusan relevansi. Rakyat Kelantan sudah menanggung kegagalannya. Rakyat Pahang jangan pula jadi mangsa kedua.

Annuar Musa tidak perlulah mengajar Pahang, UMNO Pahang tidak seburuk Pas di Kelantan, UMNO Pahang tidak sesekali akan mengabaikan kesejahteraan rakyatnya. Pahang kini sudah setanding negeri maju seperti Selangor dan Johor. Kejayaan yang dicapai oleh Pahang kerana mereka tidak berpolitik sepanjang masa seperti PAS. 

Datanglah ke Jelai, tempat Menteri Besar. Bandingkan dengan cara Menteri Besar bekerja dengan pemimpin PAS di Kelantan. Stesen bus di Jelai lebih baik stesen bus di Kota Bharu. Itu contoh yang paling senang di buat. 

Pengundi di Jelai tahu mana pemimpin yang mana bekerja dan yang mana yang penuh dengan  retorik. Itu sebab setiap kali PRU majoriti Wan Rosdy kian meningkat. Kepercayaan pengundi Jelai terhadap Wan Rosdy sangat tinggi kerana Wan Rosdy seorang pemimpin yang terbaik buat masa ini.

Selamat datang ke Jelai Tan Sri Annuar Musa!

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow