Pahang Fokus Lima Projek Pembangunan Utama, Kukuhkan Peranan di Peringkat Antarabangsa

Oleh : BARD
September 4, 2025 - 10:00 MYT
Pahang Fokus Lima Projek Pembangunan Utama, Kukuhkan Peranan di Peringkat Antarabangsa

Kerajaan Negeri Pahang terus memperkukuh agenda pembangunan dengan memberi tumpuan kepada lima Projek Pembangunan Utama yang dijangka membawa impak besar kepada ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, fokus ini merangkumi aspek infrastruktur moden, transformasi digital, pembangunan mampan serta kesalinghubungan rakyat ke rakyat.

Antara lima projek strategik yang diketengahkan ialah:

  • Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) dan pelaksanaan Projek Pemecut Ekonomi (EAPs) di tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pahang.
  • Gebeng sebagai Taman Perindustrian Halal serantau, yang bakal menjadikan Pahang pusat rujukan industri halal di Asia Tenggara.
  • Pembangunan industri daging Wagyu dan tenusu, sekaligus mengangkat Pahang sebagai hab ternakan premium negara.
  • Promosi Visit Pahang sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, memperkukuh kedudukan negeri sebagai destinasi pelancongan utama.
  • Pembangunan Geopark Lipis ke arah pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark, menonjolkan kekayaan khazanah alam semula jadi negeri.

YAB Dato’ Sri Wan Rosdy turut menghadiri Forum Ketua Menteri dan Gabenor (CMGF) Indonesia–Malaysia–Thailand Growth Triangle (IMT-GT) yang berlangsung di Trang, Thailand. Forum ini menjadi platform penting untuk Pahang berkongsi pandangan, menangani cabaran bersama, serta merangka hala tuju masa depan rantau ini.

“Penglibatan Pahang dalam forum ini membuktikan negeri kita diiktiraf bukan sahaja di peringkat nasional, malah juga ASEAN dan antarabangsa,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 1993, IMT-GT telah menjadi medan penting dalam memperkukuh kerjasama serantau, bukan sahaja dalam pembangunan ekonomi, malah meliputi keterangkuman sosial serta kelestarian alam sekitar.

Menteri Besar optimis bahawa kerjasama dalam IMT-GT mampu membuka potensi penuh rantau ini.

“Saya percaya dengan kebijaksanaan serta kerjasama semua pihak, IMT-GT mampu menjamin kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang. Marilah kita terus memperbaharui komitmen kepada visi bersama dan menjayakan IMT-GT,” ujarnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow