Belanjawan Pahang 2026: Komprehensif, Inklusif & Bukti Ekonomi Negeri Terus Kukuh
Belanjawan Pahang 2026 mendapat pujian daripada ADUN Peramu Jaya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato' Mohamad Nizar Najib, yang menyifatkannya sebagai sebuah belanjawan yang menyeluruh, seimbang dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
Menurut beliau, pencapaian kewangan negeri yang stabil membuktikan bahawa pentadbiran Pahang berjaya menguruskan sumber negeri secara telus dan berhemah.
“Belanjawan kali ini menampilkan banyak kejayaan besar. Ia menunjukkan pengurusan kewangan negeri berada pada tahap yang baik dan ekonomi Pahang terus berkembang kukuh,” katanya.
Beberapa indikator utama yang mengukuhkan kedudukan Pahang termasuk:
Hasil negeri melepasi RM1 bilion selama empat tahun berturut-turut, menandakan keupayaan kerajaan menjana pendapatan secara konsisten.
Pertumbuhan KDNK 5.7%, lebih tinggi berbanding purata nasional 5.1%, dengan nilai ekonomi keseluruhan mencecah RM68.7 bilion.
Sumbangan RM3.16 bilion daripada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC), menyumbang 4.6% kepada ekonomi negeri.
Pelaburan komited RM18.04 bilion, jauh mengatasi sasaran awal RM14.09 bilion sehingga November 2025.
Kadar pengangguran menurun kepada 1.7%, bersamaan 13,800 orang, menunjukkan pasaran kerja negeri terus berkembang baik.
Pengiktirafan Pendapat Tanpa Teguran daripada Ketua Audit Negara bagi Penyata Kewangan 2024, membuktikan ketelusan dan integriti pengurusan kewangan negeri.
Hasil kedudukan kewangan yang memberangsangkan ini juga membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan khas kewangan dua bulan gaji kepada penjawat awam pada tahun 2026.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail atas perhatian yang diberikan terhadap pembangunan Sains, Teknologi dan Inovasi.
Belanjawan 2026 turut menekankan bidang STEM dengan peruntukan RM500,000 bagi program Pahang STEM Competition, platform untuk memupuk kreativiti, inovasi dan bakat baharu dalam kalangan pelajar.
“Dengan perancangan rapi serta hala tuju jelas ini, saya yakin Belanjawan 2026 akan terus mengangkat Pahang ke tahap pembangunan yang lebih progresif dan mampan,” ujarnya.
Apa Reaksi Anda?











