BN Tak Pernah Kalah Di Sabah, Tapi Dikhianati

Oleh : BARD
November 24, 2025 - 11:00 MYT
BN Tak Pernah Kalah Di Sabah, Tapi Dikhianati

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa rakyat Sabah sebenarnya masih merindui pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang pernah membawa kestabilan dan pembangunan menyeluruh di negeri itu.

Berucap dalam program ceramah bersama calon BN N.33 Kuala Penyu, Datuk Awang Aslee Lakat di PDM Palu-Palu hari ini, beliau berkata BN tidak pernah kalah di Sabah, sebaliknya tumbang akibat pengkhianatan serta tindakan beberapa pemimpin yang meninggalkan parti demi kepentingan sendiri.

“Ketika BN kalah di peringkat pusat pada 2018, itu bukan kerana kita gagal, tetapi kerana rakyat termakan fitnah. Macam-macam yang dilemparkan terhadap kepimpinan ketika itu, termasuk terhadap Bossku, sedangkan banyak perkara baik telah dilakukan,” katanya.

Asyraf turut mengimbau bagaimana bantuan rakyat seperti BR1M sebelum ini dikritik kononnya membazir, tetapi akhirnya kerajaan pengganti tetap meneruskan bantuan serupa dengan jenama baharu.

“BN bukan parti yang hanya fikir untuk dirinya. Kita sentiasa utamakan rakyat. Tetapi apabila berlaku pengkhianatan di Sabah, asas pembangunan mula terjejas – air, api, jalan raya semuanya kembali menjadi masalah,” katanya.

Beliau berkata ketika BN mentadbir Sabah, pelbagai projek strategik telah dirancang dan dilaksanakan termasuk pembinaan empangan, pengukuhan rangkaian elektrik serta perancangan pembangunan luar bandar.

“Mereka yang datang selepas itu sepatutnya memperbaiki apa yang kita mulakan. Namun itu tidak berlaku. Sebaliknya, setiap kali hampir pilihan raya, muncullah slogan baharu untuk memancing emosi rakyat,” ujarnya.

Asyraf menegaskan bahawa rakyat tidak seharusnya menggadaikan masa depan negeri hanya kerana tawaran wang ringgit ketika pilihan raya.

“Jangan jual maruah. Ini soal masa depan Sabah. Rakyat akar umbi mahukan pembangunan yang benar-benar dirasai,” tegasnya.

Beliau berkata UMNO dan BN kekal kukuh di setiap kampung kerana asas perjuangannya jelas – membela seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

Program ceramah tersebut turut mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat yang hadir bagi mendengar penjelasan kepimpinan UMNO serta menyatakan sokongan kepada calon BN Kuala Penyu. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow