Bukan Milik Sesiapa, Perpaduan Ummah Milik Kita Semua
Himpunan Perpaduan Ummah bukan gelanggang eksklusif milik mana-mana parti politik. Sebaliknya, ia adalah medan penyatuan yang terbuka kepada semua pihak yang benar-benar mahu melihat umat Islam kembali bersatu atas kepentingan yang lebih besar.
Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh, menegaskan bahawa tidak pernah timbul soal untuk menutup pintu atau mengehadkan penyertaan mana-mana parti, organisasi mahupun kelompok masyarakat dalam himpunan tersebut.
Katanya, ukuran utama bukanlah daripada parti mana seseorang itu datang, tetapi sejauh mana mereka berkongsi tekad untuk menjayakan agenda penyatuan ummah.
“Kita tidak pernah menutup atau menghadkan Himpunan Perpaduan Ummah ini untuk mana-mana parti ataupun organisasi.
“Himpunan ini melibatkan semua, tidak kira parti atau bangsa. Selagi mana ia bertujuan untuk menyatukan ummah, maka semua dijemput untuk bersama.”
Dalam masa yang sama, Akmal menjelaskan bahawa UMNO dan Pas menjadi penggerak utama kepada usaha berkenaan, selaras dengan kedudukan kedua-dua parti sebagai parti Melayu Islam terbesar di negara ini.
Namun, peranan sebagai penggerak tidak harus disalah tafsir sebagai hak milik.
Sebaliknya, UMNO dan Pas mempunyai tanggungjawab untuk membuka ruang seluas-luasnya agar agenda perpaduan dapat disertai oleh seluruh umat Islam tanpa mengira kecenderungan politik.
“Penggerak utama untuk himpunan ini adalah daripada UMNO dan Pas selaku dua parti Melayu Islam terbesar dalam tanah air kita.
“Himpunan Perpaduan Ummah ini adalah himpunan kita semua.”
Hakikatnya, kekuatan sesuatu gerakan tidak hanya terletak pada jumlah penyokong sesebuah parti, tetapi pada kemampuan menghimpunkan sebanyak mungkin pihak yang bersedia meletakkan kepentingan ummah di hadapan perbezaan politik.
Usaha ini kini memasuki fasa yang lebih besar selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberikan mandat kepada Akmal untuk menggerakkan Himpunan Perpaduan Ummah ketika ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu lalu.
Lebih daripada sekadar sebuah himpunan, sasaran yang ditetapkan adalah besar untuk menghimpunkan sejuta umat Islam.
Mandat tersebut turut menuntut Akmal untuk bekerjasama dengan Pas bagi memastikan gerakan berkenaan dapat dilaksanakan secara tersusun, terancang dan berterusan.
Sasaran sejuta umat bukan angka kecil. Ia membawa mesej politik yang jelas bahawa masih terdapat ruang untuk membina titik temu dalam kalangan umat Islam, meskipun berbeza parti dan pandangan politik.
Dalam konteks politik semasa, usaha menyatukan ummah memerlukan keberanian untuk mengetepikan perbezaan yang boleh memecah-belahkan dan mencari persamaan yang mampu menjadi asas kepada kekuatan bersama.
UMNO dan Pas menjadi penggerak. Tetapi perjuangan perpaduan itu bukan milik UMNO, bukan milik Pas dan bukan milik mana-mana kelompok. Ia milik seluruh ummah.
Jika matlamatnya benar-benar untuk menyatukan umat Islam, maka pintu penyertaan harus terus terbuka.
Kerana ummah yang kuat bukan dibina dengan perpecahan, tetapi dengan kesatuan.
Apa Reaksi Anda?











