Dr Zuhdi Menipu… UMNO Bukan Punca Keretakan MN

Oleh : BARD
September 23, 2025 - 12:00 MYT
Dr Zuhdi Menipu… UMNO Bukan Punca Keretakan MN

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin menempelak tuduhan yang dilemparkan oleh bekas ahli jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki terhadap UMNO, yang kononnya hubungan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi punca keretakan Muafakat Nasional (MN).

Tegasnya, tuduhan ini adalah satu bentuk pembohongan sejarah yang cuba menutup hakikat sebenar dan merekalah yang mengkhianati piagam MN.

“Cukuplah Dr Zuhdi menipu rakyat dengan menukar cerita dan fakta sejarah tidak boleh dipadam, dan rakyat sudah tahu siapa yang sebenarnya khianat.

“Hakikatnya, sejak awal penubuhan MN pada 2019, UMNO kekal komited kerana yakin kerjasama UMNO–Pas mampu membina kekuatan politik Melayu-Islam yang besar, malah berpotensi mencapai 2/3 majoriti di Parlimen. Namun, harapan ini dikhianati apabila mereka memilih untuk lebih setia kepada Bersatu yang ketika itu Perdana Menteri berbanding mempertahankan piagam asal MN di mana UMNO tidak ditampuk kuasa.

“Fakta tidak boleh dipadam sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, janji tiada pertembungan dikhianati. Pas bersama Bersatu hantar calon untuk memecah undi UMNO. Kluster mahkamah adalah propaganda ciptaan Bersatu bagi melemahkan dan memburukkan UMNO,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Asna yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan menegaskan bahawa Pas jangan mengalih perhatian dengan memfitnah UMNO.

“Jangan cuba alih perhatian dengan memfitnah UMNO. Sejarah mencatat bahawa Pas sendiri yang meruntuhkan MN dengan membawa masuk Bersatu yang tujuan penubuhannya untuk menghancurkan UMNO.

“UMNO akan terus konsisten mempertahankan prinsip perjuangan, tidak tunduk kepada kepentingan jawatan atau dana politik,” ujarnya.

Seterusnya Pengerusi Biro Ekonomi UMNO Negeri Sembilan itu membidas Bersatu yang mencuri ahli UMNO serta didaftarkan sebagai ahli tanpa pengetahuan dan ini jelas bukti permainan kotor yang berlaku.

“Bersatu terus menerus mencuri ahli UMNO dan dalam masa yang sama Pas mengundang Bersatu ke dalam Muafakat Nasional.

“UMNO terus membuktikan kekuatan sendiri. Dalam PRN Melaka 2021 dan PRN Johor 2022, UMNO bertanding solo tanpa Pas dan Bersatu, serta menang besar. Rakyat telah memberi isyarat jelas mereka percaya kepada UMNO, bukan pada retorik Bersatu dan Pas,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, langkah UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan adalah memastikan kepentingan utama rakyat dan negara sentiasa terpelihara.

“Keputusan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum (PRU) 15 dibuat atas syarat bertulis yang jelas iaitu mempertahankan Islam, Melayu, Raja-Raja, Bahasa Kebangsaan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan keadilan ekonomi. Inilah bukti bahawa UMNO berpolitik dengan prinsip.

“Ia berbeza dengan Bersatu dan Pas, yang pernah bersama Dap dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat tanpa sebarang syarat,” ujarnya. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow