Kekalutan Politik Perlis Bukti Konflik Dalaman PN

Oleh : BARD
Januari 1, 2026 - 10:00 MYT
Kekalutan Politik Perlis Bukti Konflik Dalaman PN

Rakyat Perlis terus menjadi mangsa kekalutan politik apabila pentadbiran kerajaan negeri dilihat semakin haru-biru susulan desakan Pas Pusat terhadap kepimpinan Perikatan Nasional (PN) Pusat untuk mengambil tanggungjawab atas kegagalan mengurus amanah, kesetiaan dan kejujuran dalam persahabatan politik.

Exco Wanita UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun melihat kemelut yang berlaku jelas berpunca daripada sikap emosi yang mengatasi kewarasan akal sehingga mencetuskan episod Melayu menjatuhkan Melayu, tanpa campur tangan mana-mana kaum lain di negeri tersebut.

Menurutnya, rakyat kini semakin matang dan bijak menilai kepimpinan, khususnya dalam kalangan orang Melayu, agar tidak dipengaruhi rasa dengki dan sentimen sempit, sebaliknya memilih pemimpin yang berkaliber, berpengalaman dan benar-benar mampu bekerja untuk rakyat.

“Sama-sama kita fikir tepuk dada tanya selera. Jika emosi melebihi waras akal, teruskan beremosi tapi jika Melayu hilang kuasa jangan salahkan UMNO atau Barisan Nasional (BN). Kerana dengan kejadian ini dah terbukti Melayu hilang kuasa kerana Melayu berpecah dari niat pengkhianatan PPBM dan Pas pada UMNO.

“Pepatah Melayu ada sebut ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh… semoga maju jaya kepada Pas dan PPBM. Yang berpisah boleh bertaut kembali jika hati tu benar-benar ikhlas. Bagi UMNO pengajaran dan pengalaman bersama mereka dalam Muafakat Nasional (MN) telah mematangkan kita dan membuatkan lebih berhati-hati.

“Jika ada BN bertanding di tempat anda, pilih BN sebab jika BN kuat, BN boleh membuat polisi menguatkan orang Melayu dan semua bangsa. Sudah terbukti BN memerintah 60 tahun polisi-polisi BN hebat sehingga ke hari ini,” katanya kepada UMNO Online.

Dr Masliha yang juga Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional (SWP) menegaskan episod peletakan jawatan seorang pemimpin negeri adalah bukti jelas bagaimana kepentingan peribadi dan hubungan kekeluargaan diutamakan berbanding amanah rakyat.

“Seorang besan bermati-matian mempertahankan besannya, namun akhirnya besan itu juga meletakkan jawatan akibat tekanan. Kerana emosi dan kegagalan membuat keputusan secara waras, Pilihan Raya Kecil (PRK) bakal diadakan dan rakyat sekali lagi dipaksa menanggung akibatnya.

“Tidak cukup dengan itu PPBM yang kepakarannya akuan bersumpah (SD) dan mengutip sokongan cara belakang serta mempunyai pengalaman memerintah telah mendapat kepercayaan Raja untuk memerintah, namun sekali lagi rakan gabungan mereka telah menggunakan emosi dan langsung tak nak membantu Kerajaan Perlis yang baru,” katanya lagi.

Pada masa yang sama kata beliau lagi, apa yang berlaku kepada PN adalah sandiwara politik tanpa kesudahan dan memangsakan rakyat.

“Tan Sri Muhyiddin seorang yang ego. Hakikatnya beliau dan rakan-rakan sekutunya telah melepaskan jawatan dalam PN dan membiarkan Pas mengambil alih PN, ini jelas keretakan dalam PN bertambah besar.

“Biarlah Pas yang mengemudi PN kerana mereka memang mahukan jawatan dan kuasa. Pengerusi PN Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak masing-masing serta Setiausaha Agung PN telah meletakkan jawatan dan mengikut jejak langkah Muhyiddin.

“Apa yang berlaku sekarang hanyalah sandiwara politik. Rakyat dipaksa menonton drama yang belum berakhir, sementara Negara terus bergerak maju ke hadapan. Akhirnya, salah pangkah dapat apa? Dapat drama, dapat krisis dan dapat pengkhianatan.Fikir-fikirlah sendiri,” tegasnya. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow