Jalan laut masih jadi ‘pintu belakang’ kemasukan PATI
Kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui jalan laut bukan lagi isu yang boleh ditangani sekadar dengan operasi tangkapan selepas mereka berjaya memasuki negara.
Sebaliknya, ia memerlukan pendekatan lebih menyeluruh dengan memutuskan rantaian sindiket dari negara asal, lokasi transit, tekong sehinggalah kepada pihak yang menunggu dan menggajikan mereka di Malaysia.
Kes terbaharu membabitkan pasangan suami isteri warga Myanmar yang mendakwa membayar kira-kira RM6,000 kepada seorang tekong warga Thailand untuk membawa mereka bersama dua anaknya masuk ke Malaysia melalui perairan Langkawi, Kedah.
Keluarga itu kemudiannya menetap di Kajang dan mendakwa sudah berada di negara ini kira-kira 18 bulan.
Malah, mereka difahamkan sedang berusaha mendapatkan status daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Kes ini memperlihatkan bagaimana sindiket penyeludupan manusia mampu mengeksploitasi kelemahan kawalan di sempadan maritim.
Lebih membimbangkan, perjalanan menggunakan bot haram kecil serta laluan tidak rasmi menjadikan pengesanan pihak berkuasa lebih sukar selain membahayakan nyawa penumpang.
Justeru, kawalan perairan perlu diperkasakan menerusi operasi bersepadu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan agensi keselamatan lain.
Penggunaan radar, dron, kamera pantai dan teknologi pengawasan maritim juga mesti diperluaskan di kawasan yang dikenal pasti sebagai 'laluan panas'.
Pada masa sama, Malaysia perlu memperkukuhkan kerjasama dengan Thailand, Myanmar dan negara jiran lain bagi menjejaki rangkaian sindiket sehingga ke dalang.
Menangkap tekong kecil semata-mata tidak memadai jika pembiaya, ejen perekrut dan penerima PATI di Malaysia terus bebas.
Kerajaan juga disarankan meneliti faktor permintaan tenaga kerja yang menjadi antara tarikan utama kepada sindiket.
Pemeriksaan lebih ketat terhadap majikan, ejen pekerjaan dan premis yang menggajikan pekerja tanpa dokumen mesti dilakukan secara konsisten.
Apa yang lebih penting, tindakan penguatkuasaan perlu disertai dengan sistem pendaftaran dan saringan efektif.
Dalam kes keluarga Myanmar itu, status mereka sebagai individu yang mendakwa mahu mendapatkan perlindungan perlu ditentukan melalui proses sewajarnya, tanpa menjadikan alasan kemanusiaan sebagai ruang untuk sindiket terus beroperasi.
Pada akhirnya, perang terhadap PATI perlu berubah daripada sekadar menangkap kepada memutuskan keseluruhan ekosistem sindiket.
Selagi ada tekong, ejen, majikan dan permintaan, laluan laut akan terus menjadi 'pintu belakang' untuk memasuki Malaysia.
Apa Reaksi Anda?











