Keahlian Dalam Talian Terus Dapat Sambutan, 5,775 Lagi Sertai UMNO

Oleh : BARD
April 23, 2026 - 10:00 MYT
Keahlian Dalam Talian Terus Dapat Sambutan, 5,775 Lagi Sertai UMNO

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan seramai 5,775 ahli baharu berjaya mendaftarkan diri sebagai sebahagian daripada keluarga besar UMNO melalui sistem pendaftaran atas talian yang mula dibuka pada Isnin.

Beliau mengucapkan penghargaan terhadap ahli baharu yang telah mengambil langkah menyertai UMNO dengan memanfaatkan kemudahan digital yang disediakan.

“Tahniah diucapkan kepada 5,775 ahli-ahli baharu yang berjaya mendaftarkan diri anda untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar UMNO melalui pendaftaran secara atas talian yang mula dibuka pada 12 tengah hari Isnin.

“Mudah saja anda hanya perlu melayari myUMNO.org dan tekan butang daftar ahli baru. Anda perlu mengimbas kad pengenalan dan swafoto.

“Hanya perlu diisi email, nombor telefon anda dan terus tekan butang hantar. Secara automatik sekiranya anda belum lagi menjadi ahli, maka pengesahan menjadi ahli UMNO dengan nombor keahlian akan terus dihantar ke email yang anda sediakan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dr Asyraf dalam pada itu turut sama memaklumkan orang ramai juga berpeluang mendapatkan kad keahlian secara percuma dengan hadir ibu pejabat UMNO, dari 1 hingga 5 Mei ini sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-80.

“Anda juga ada pilihan untuk mendapatkan kad yang mempunyai kemudahan Touch ‘n Go dengan bayaran RM30.

“Kita jumpa pada sambutan ulang tahun UMNO dan yang paling penting saya ucapkan terima kasih kepada anda kerana bersama-sama dalam keluarga besar Rumah Bangsa UMNO, satu perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air,” ujar beliau.

Untuk rekod, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada Jumaat telah meluluskan pindaan Peraturan Keahlian UMNO dengan membolehkan pendaftaran ahli baharu dibuat secara atas talian.

Selaras dengan Fasal 5.2 Perlembagaan UMNO, MKT juga telah membuat pindaan terhadap Peraturan Keahlian UMNO dengan membolehkan pendaftaran secara atas talian bagi mempermudahkan kemasukan ahli baharu terutamanya dalam kalangan anak-anak muda.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow