Kedah Bukan Negeri Lawak Jenaka… Cukup-Cukuplah Dengan ‘Wayang’
Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff menempelak gaya kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa hanya pandai berjanji tanpa hasil nyata kepada rakyat negeri itu.
Menurutnya, sudah tiba masanya rakyat Kedah menilai dengan mata hati dan tidak lagi terpedaya dengan retorik politik serta cakap besar yang tidak membawa perubahan sebenar.
“Cukup-cukuplah dengan wayang, Sanusi. Rakyat Kedah dah celik, bukannya bodoh, kami dengar, kami lihat, kami nilai. Kita kena sedar jangan biar diri diperbodoh dengan gaya cakap besar.
“Cakap nak ubah Kedah jadi negeri maju, tapi rakyat bawah masih dok mengeluh pasal air, pasal harga barang, pasal kerja tak ada. Anak muda ramai terpaksa merantau, sawah makin sempit, rumah tak mampu beli. Tapi Sanusi masih boleh ketawa di pentas sambil menuduh orang lain kononnya salah guna tabung bantuan.
“Setiap kali Sanusi naik pentas, ada saja cerita besar yang kononnya nak buat bandar aeroangkasa, pelabuhan mega, litar lumba antarabangsa, stadium baru, taman teknologi… bunyi semua gah, tapi habuk pun tak nampak! Janji sepuluh, satu pun tak jadi,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut kata Shahanim, Sanusi suka main persepsi, sebab dia tahu hakikat sebenar pentadbiran dia semakin longgar.
“Beliau tak mampu penuhi janji, jadi dia cipta musuh baru untuk alih perhatian rakyat. Hari ni dia tuduh wanita UMNO, esok siapa pula? Orang kampung? Guru? Imam? Bila seseorang dah terlalu takut, rakyat nampak kelemahan dia, dia akan mula cari kambing hitam untuk salahkan.
“Mai sini kita tanya kalau betul beliau hebat, mana hasil kerja selama ni? Mana projek yang siap? Mana pelaburan yang dia dok kata berjuta-juta tu? Jangan sembunyi kegagalan sendiri dengan menabur fitnah kepada orang lain. Itu bukan kepimpinan… itu penipuan yang diselindung dengan lawak politik murahan!”
Tegas Shahanim, negeri Kedah bukan medan lawak jenaka politik sebaliknya sebuah negeri berdaulat yang perlu dipimpin oleh individu berwibawa dan tahu bekerja.
“Negeri kita bukan medan lawak jenaka politik. Kedah ni tanah pusaka, tempat darah tumpah generasi kita. Kami tak perlukan pemimpin yang kuat sembang, kami perlukan orang yang tahu kerja.
“Sanusi boleh terus bercakap di pentas, boleh terus cipta persepsi hari-hari. Tapi kebenaran tetap akan muncul dan rakyat dah muak. Yang kami nak bukan kata manis, tapi hasil kerja nyata.
“Kalau Sanusi masih tak sedar, biarlah rakyat Kedah yang bagi dia cuti panjang dari terus menabur janji palsu,” tegasnya lagi
Apa Reaksi Anda?











