Perang Melawan Fitnah: Kerajaan Pahang Bangkit Lawan Persepsi Songsang Media Sosial
Dalam gelombang media sosial yang semakin liar dengan fitnah, sentimen murahan dan permainan persepsi, Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan bahawa rakyat berhak mendapat maklumat yang benar, bukannya cerita karut ciptaan pihak yang terdesak mencari pengaruh.
Menurut beliau, kerajaan negeri tidak akan membiarkan masyarakat terus dimomokkan oleh naratif tidak berasas. Sebab itu program Town Hall diadakan secara besar-besaran dan berterusan supaya rakyat diberi fakta, bukan fantasi politik.
“Kita tidak mahu rakyat diperbodoh dengan berita palsu yang boleh menggugat keharmonian. Politik sempit tidak ada tempat di Pahang,” tegasnya.
Menteri Besar turut menyindir pembangkang yang lebih gemar meniup persepsi daripada membawa cadangan bernas.
Katanya, kalau mahu menegur kerajaan, buatlah secara matang. Jangan hanya pandai mencetuskan kemarahan rakyat dengan separuh cerita atau manipulasi isu semata-mata untuk kepentingan politik.
“Rakyat mesti tahu apa yang kerajaan buat supaya mereka boleh membuat pilihan berdasarkan fakta, bukan emosi atau fitnah.”
Tidak seperti media sosial yang bebas menjadi ‘tong sampah’ maklumat, Town Hall membuka ruang rakyat bertanya secara terus dan kerajaan menjawab tanpa berselindung.
Inilah platform yang mematahkan dakyah dan tohmahan yang cuba dimainkan oleh pihak-pihak tertentu.
“Ini saluran terbaik untuk rakyat tanya, kerajaan jawab tiada tapisan, tiada putar belit.”
Setakat tiga sesi utama Town Hall yang dihadiri Menteri Besar, kehadiran rakyat sangat menggalakkan. Dari Shah Alam hingga Kuantan, orang ramai hadir kerana mahu mendengar sendiri penjelasan bukan dari potongan video TikTok atau mesej WhatsApp yang diragui.
Town Hall Rakyat pada Selasa lalu sahaja mencatat lebih 1,500 peserta, satu tamparan hebat kepada golongan yang kononnya mendakwa rakyat “tidak lagi percaya kepada kerajaan”.
“Kalau kerajaan buat kerja, rakyat akan sokong. Kalau tidak, rakyat boleh tukar. Tapi biarlah keputusan dibuat berdasarkan prestasi, bukan propaganda.”
Kerajaan Pahang memilih fakta dan penyebar sentimen memilih drama.
Dan buat rakyat kini mereka sendiri hadir untuk melihat siapa yang benar-benar bekerja, dan siapa yang sekadar bising di media sosial.
Apa Reaksi Anda?











