Keretapi Sarong 2025 Kuantan Semarakkan Perpaduan, Tarik 5,000 Pengunjung

Oleh : BARD
September 14, 2025 - 11:00 MYT
Keretapi Sarong 2025 Kuantan Semarakkan Perpaduan, Tarik 5,000 Pengunjung

Program Keretapi Sarong 2025 yang berlangsung di Kuantan Art Street semalam menjadi medan menyatukan masyarakat berbilang kaum sempena menyambut bulan Kemerdekaan dan menjelangnya Hari Malaysia.

Program yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu turut mendapat sokongan penuh Kerajaan Negeri Pahang, dengan pelbagai pengisian bercorak kebudayaan dan patriotisme.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal, penganjuran ini berjaya menghidupkan semangat muhibah rakyat Malaysia.

“Keretapi Sarong ini bukan sekadar acara hiburan, tetapi satu platform menyatupadukan masyarakat berbilang bangsa. Pengisiannya cukup menarik yang bermula dengan ikrar Rukun Negara, persembahan pencak silat, tarian kebudayaan, hinggalah ke nyanyian lagu-lagu nostalgia. Lebih istimewa, orang ramai hadir dengan sarung, simbol akar budaya kita,” katanya.

Beliau menambah, sambutan tahun ini amat memberangsangkan dengan kehadiran hampir 5,000 pengunjung, sekaligus membuktikan rakyat mengalu-alukan program bercorak perpaduan.

“Tahun depan kita akan buat lebih meriah. Insya-Allah, Kerajaan Negeri Pahang bersedia bekerjasama menjadikan program ini sebagai acara tahunan kerana manfaatnya besar kepada rakyat,” ujarnya.

Selain itu, pemilihan Kuantan Art Street sebagai lokasi penganjuran turut memberi nilai tambah kerana kawasan tersebut kini dikenali sebagai pusat seni kreatif dan destinasi pelancongan baharu di bandar Kuantan.

Keretapi Sarong, yang mula diperkenalkan sejak 2017 di Kuala Lumpur, kini berkembang ke beberapa negeri termasuk Pahang, membawa mesej “Satu Malaysia, Satu Sarong” bagi mengekalkan warisan budaya dan merapatkan hubungan masyarakat tanpa mengira bangsa serta agama.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow