7 maut dalam insiden tembakan

Oleh : BARD
September 15, 2025 - 09:00 MYT
7 maut dalam insiden tembakan

Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh manakala tiga lagi cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyamar sebagai askar melepaskan tembakan di sebuah premis biliard lewat Jumaat di Santo Domingo de los Tsachilas, barat laut Ecuador, lapor Xinhua memetik laporan media tempatan pada Sabtu.

Menurut portal berita tempatan Primicias, para penyerang tiba dengan sebuah kenderaan sekitar jam 10.30 malam waktu tempatan sebelum melepaskan tembakan secara rambang ke arah pelanggan di premis yang terletak di kawasan kejiranan Nuevo Amanecer.

Insiden itu merupakan kejadian kedua di premis biliard di wilayah Santo Domingo de los Tsachilas dalam tempoh kurang sebulan.

Pada 17 Ogos lalu, tujuh orang turut maut dalam serangan serupa, menurut polis.

Berdasarkan data Balai Pemerhatian Jenayah Terancang Ecuador, negara itu merekodkan 4,619 kes pembunuhan pada separuh pertama tahun 2025, iaitu peningkatan 47 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu - angka tertinggi dalam tempoh enam bulan dalam sejarah Ecuador.

Kerajaan Ecuador meningkatkan usaha menentang kumpulan jenayah pengedaran dadah sejak Presiden Daniel Noboa mengisytiharkan keadaan "konflik bersenjata dalaman" pada Januari 2024 berikutan peningkatan keganasan. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow