PAS Ketandusan Calon Perdana Menteri, Takut Dengan Bayang Sendiri

Oleh : BARD
Oktober 15, 2025 - 20:01 MYT
PAS Ketandusan Calon Perdana Menteri, Takut Dengan Bayang Sendiri

Kenyataan Hadi Awang di Parlimen hari ini kononnya tidak mahu menamakan calon perdana menteri atas faktor “keselamatan” adalah alasan yang sangat lemah dan tidak meyakinkan. Ia bukan soal keselamatan  tetapi soal ketiadaan tokoh yang benar-benar layak, berwibawa dan berkarisma dalam PAS untuk diangkat sebagai calon Perdana Menteri.

Alasan “takut disogok jongkong emas” atau “diletak dadah dalam kereta” kedengaran seperti skrip drama murahan. Jika benar pemimpin PAS dan Perikatan Nasional berintegriti tinggi, seperti yang mereka selalu dakwa, adakah sekadar fitnah atau sogokan mampu menggoyahkan kejujuran dan keteguhan moral mereka? Kalau begitu rapuh iman calon pilihan mereka, bagaimana mahu memimpin sebuah negara?

Kenyataan ini juga membuktikan bahawa PAS masih kabur dan goyah dalam menentukan hala tuju kepimpinan di peringkat nasional. Mereka sering melaungkan slogan “politik Islam”, tetapi dalam hal sepenting menentukan calon perdana menteri pun mereka masih menyorok di sebalik alasan keselamatan. Sedangkan rakyat mahu melihat keyakinan, ketegasan dan kejelasan bukan alasan yang dibuat-buat.

Realitinya, PAS tidak menamakan calon perdana menteri bukan kerana bimbang akan sabotaj, tetapi kerana mereka tidak mempunyai seorang pun tokoh yang mempunyai daya kepimpinan nasional, karisma antarabangsa atau aura kenegaraan. Tokoh-tokoh mereka mungkin popular dalam kalangan penyokong tegar di kampung dan ceramah agama, tetapi tiada seorang pun yang mampu menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin untuk seluruh rakyat Malaysia, merentasi bangsa dan agama.

PAS boleh terus berpura-pura bahawa mereka “menunggu masa yang sesuai” untuk menamakan calon, tetapi semua orang tahu kebenarannya parti itu masih bergelut mencari wajah yang cukup berkarisma untuk diterima bukan sahaja oleh penyokong sendiri, tetapi juga oleh rakyat yang mahukan seorang perdana menteri berwibawa dan berpandangan jauh.

Jika sebuah parti politik yang bercita-cita memerintah negara pun tidak mampu menamakan calon perdana menteri, itu bukan tanda strategi  itu tanda ketidakyakinan dan kekosongan kepimpinan. Dan dalam hal ini, PAS bukan mangsa “ancaman keselamatan”, tetapi mangsa kelemahan diri sendiri.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow