PAU 2025 Penentu Kekuatan Parti Depani Cabaran Politik Semasa
Ketua Wanita UMNO Selangor, Datuk Halimaton Sa’adiah Bohan menegaskan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 adalah medan penting untuk menyatukan kembali kekuatan parti dalam mendepani cabaran politik semasa.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Sungai Buloh berkata PAU kali ini amat kritikal memandangkan tempoh penggal Parlimen hanya berbaki 20 bulan dan sebarang keputusan strategik harus dibuat dengan kesepakatan dan disiplin tinggi dalam kalangan ahli.
“PAU kali ini amat kritikal, memandangkan tempoh penggal Parlimen hanya berbaki 20 bulan.
“Justeru, kita mesti bersatu hati dan memperkukuh disiplin perjuangan, dengan satu fokus yang jelas, memenangi pilihan raya.
“Perbezaan pandangan bukan alasan untuk berpecah, sebaliknya cerminan kematangan dan kekuatan parti untuk bangkit bersama. Namun dalam soal hala tuju dan strategi, kesepakatan serta kebersamaan dengan kepimpinan tertinggi parti amat penting,” katanya.
Halimaton dalam pada itu turut menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan sedia ada untuk membawa parti ke landasan yang kukuh jika semua pihak bergerak seiring dan tidak mencetuskan perpecahan dalaman.
“Apa jua keputusan dan pendekatan yang telah digariskan oleh pucuk pimpinan, wajarlah kita sepakat, bergerak dalam satu saf dan melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan parti dan rakyat.
“Kekuatan sebenar parti lahir daripada kesetiaan kepada prinsip dan perjuangan, bukan kepada individu semata-mata.
“PAU ini mesti menjadi medan menyatukan tekad, memperkukuh saf perjuangan dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti,” ujar beliau.
Terdahulu, PAU 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 26 hingga 29 November telah ditangguhkan ke 14 hingga 17 Januari bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
PAU yang bakal berlangsung minggu hadapan akan dimulakan dengan perasmian serentak Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri pada hari Rabu, sebelum acara kemuncaknya pada hari Jumaat yang melibatkan upacara menaikkan bendera serta sesi perbahasan.
Apa Reaksi Anda?











